Judul: Tadabbur Kalamullah 8 Syawal 1441H - 2 Golongan Manusia Di Mahsyar
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 8 SYAWAL 1441H
2 GOLONGAN MANUSIA DI MAHSYAR
 
 
یَوۡمَ تَبۡیَضُّ وُجُوهࣱ وَتَسۡوَدُّ وُجُوهࣱۚ فَأَمَّا ٱلَّذِینَ ٱسۡوَدَّتۡ وُجُوهُهُمۡ أَكَفَرۡتُم بَعۡدَ إِیمَـٰنِكُمۡ فَذُوقُوا۟ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ * وَأَمَّا ٱلَّذِینَ ٱبۡیَضَّتۡ وُجُوهُهُمۡ فَفِی رَحۡمَةِ ٱللَّهِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ
"(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu". Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya" [Surah Aali Imran 106-107]
 
Allah swt menyatakan di dalam ayat ini bahawa terdapat 2 golongan manusia di mahsyar kelak.
 
1. Golongan yang wajahnya putih berseri-seri
2. Golongan yang wajahnya hitam legam
 
Wajah menjadi putih berseri-seri disebabkan gembira, puas hati dan bahagia. Manakala yang berwajah hitam legam disebabkan sedih, menyesal dan sengsara. Mereka yang berwajah berseri-seri bakal penghuni syurga. Manakala mereka yang berwajah hitam legam bakal penghuni neraka jahannam. Dengan keadaan wajah sedemikian, menyebabkan semua manusia akan tahu siapa yang bakal diiringi bak raja untuk memasuki syurga dan siapa yang akan diseret dan dihumban ke dalam neraka.
 
 
لِّلَّذِینَ أَحۡسَنُوا۟ ٱلۡحُسۡنَىٰ وَزِیَادَةࣱۖ وَلَا یَرۡهَقُ وُجُوهَهُمۡ قَتَرࣱ وَلَا ذِلَّةٌۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ * وَٱلَّذِینَ كَسَبُوا۟ ٱلسَّیِّـَٔاتِ جَزَاۤءُ سَیِّئَةِۭ بِمِثۡلِهَا وَتَرۡهَقُهُمۡ ذِلَّةࣱۖ مَّا لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِنۡ عَاصِمࣲۖ كَأَنَّمَاۤ أُغۡشِیَتۡ وُجُوهُهُمۡ قِطَعࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِ مُظۡلِمًاۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ
 
"Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya"
[Surah Yunus 26-27]
 
Golongan yang berwajah hitam hodoh ini terdiri daripada orang-orang kafir, golongan munafik dan mereka yang murtad daripada jalan keimanan.
 
 
Syaikh as-Sa’di rahimahullah berkata: “Hari ketika wajah putih bersih, ini merupakan wajah orang-orang yang bahagia dan selalu berbuat kebaikan, mereka adalah orang-orang yang bersatu dan berpegang teguh pada tali agama Allah (al-Quran dan as-Sunnah). Adapun yang wajahnya hitam legam adalah orang-orang yang celaka dan selalu berbuat keburukan, mereka adalah orang-orang yang selalu berpecah-belah dalam agama dan selalu berbeza. Wajahnya menghitam disebabkan oleh keterhinaannya dan keburukan amalannya. Sedangkan orang yang berwajah putih bersih, hal ini disebabkan kerana kebahagiaan, nikmat dan kesolehan yang nampak pada wajahnya".
 
Imam Ibnu Katsir berkata dalam tafsirnya bahawasanya ibnu Abbas r.huma berkata: “Hari ketika wajah manusia ada yang memutih bersih dan ada yang menghitam legam iaitu hari kiamat. Wajah yang putih bersih adalah wajah ahlu sunnah wal jama’ah dan wajah yang hitam legam adalah wajah ahlu bid’ah dan al-furqah iaitu orang-orang yang suka berpecah belah”.
 
Berusahalah bersungguh-sungguh mentaati Allah, semoga kita tergolong dalam kalangan manusia yang memiliki wajah yang berseri-seri. Jangan sesekali menderhakai Allah dan keluar dari Islam, kerana ia bakal disalai, dibakar, dan dipanggang selunyai-lunyainya di dalam neraka.
 
 
 
یَوۡمَ تَبۡیَضُّ وُجُوهࣱ وَتَسۡوَدُّ وُجُوهࣱۚ فَأَمَّا ٱلَّذِینَ ٱسۡوَدَّتۡ وُجُوهُهُمۡ أَكَفَرۡتُم بَعۡدَ إِیمَـٰنِكُمۡ فَذُوقُوا۟ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ * وَأَمَّا ٱلَّذِینَ ٱبۡیَضَّتۡ وُجُوهُهُمۡ فَفِی رَحۡمَةِ ٱللَّهِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ