LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

MENGENAI

SOLAT JENAZAH GHAIB KE ATAS
AL-IMAM AL-‘ALLAMAH ASY-SYEIKH DR. YUSOF AL-QARADAWI RAHIMAHULLAH

Bil.21/2022

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Al-Imam Al-‘Allamah Asy-Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi Rahimahullah, Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) pada 26 September 2022. Sesungguhnya pemergian almarhum merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia. Jasa almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia. Atas jasa dan sumbangan almarhum, Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan almarhum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H bersamaan tahun 2009M.

  2. Sebagai tanda penghormatan buat almarhum, JAKIM akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib serentak di tiga buah masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sejurus selepas Solat Isyak pada malam ini 27 September 2022.

  3. JAKIM ingin turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan Solat Jenazah Ghaib buat almarhum.

  4. Semoga jenazah almarhum diampunkan dan dirahmati oleh Allah SWT jua.

Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Ketua Pengarah
27 September 2022M/30 Safar 1444H