LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH JAKIM

BERKENAAN

PELANTIKAN MENTERI AGAMA
 

Bil.30/2022

1. JAKIM menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas pengumuman dan pemilihan YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai Menteri Agama di dalam Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
 
2. JAKIM juga ingin mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap beliau untuk mengetuai pentadbiran agensi hal ehwal Islam di negara ini. JAKIM yakin dan percaya dengan latar belakang serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini, akan mampu membawa hala tuju agensi agama ke arah reformasi pengurusan hal ehwal Islam selaras semangat Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

3. JAKIM selaku Sekretariat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yakin dan percaya bahawa pelantikan Menteri Agama oleh pihak Kerajaan pada kali ini telah mendukung semangat MKI sebagaimana perubahan Peraturan MKI 2022 yang telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9-10 Mac 2022.

4. Mewakili seluruh saf pengurusan dan warga JAKIM, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar sebagai Menteri Agama yang baharu dilantik. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat kepada YB Menteri serta sentiasa diberi kekuatan untuk menjalankan amanah ini dengan cemerlang.

Sekian

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah JAKIM
3 Disember 2022