jata negara small

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKAITAN

LAWATAN KERJA MENTERI HAJI DAN UMRAH, ARAB SAUDI KE MALAYSIA

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat mengalu-alukan serta ingin mengucapkan Selamat Datang kepada Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi serta delegasi beliau atas lawatan kerja tiga (3) hari ke Malaysia bermula 25 Februari yang lalu.

Hubungan istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi telah lama terbina. Justeru kunjungan Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah serta Delegasi ini, amat bermakna bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutamanya yang melibatkan hal-hal berkaitan haji dan umrah.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan kerjasama serta perkhidmatan yang terbaik yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji & Umrah kepada Malaysia pada setiap musim haji.

Saban tahun Operasi Haji Malaysia yang diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji berjalan lancar hasil hubungan erat ini yang telah lama terjalin.

Pada operasi haji yang lalu contohnya, Malaysia telah sekali lagi menjadi antara negara yang terpilih untuk program “Makkah Route” yang ternyata memberi kemudahan kepada jemaah haji negara setibanya mereka di Lapangan Terbang Arab Saudi kerana semua proses imigresen dan kastam telah dilakukan di KLIA.

Program ‘Makkah Route’ jelas membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Arab Saudi dalam menyantuni para Dhuyufurrahman di seluruh dunia. Justeru Malaysia amat bertuah dan bersyukur kerana terus dipilih untuk menikmati kemudahan ini.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah mengadakan perbincangan dan mengutarakan hasrat Malaysia untuk penambahan kuota haji rasmi kepada 31,950 pada tahun hadapan, selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara menurut prospektus populasi 2019 yang dikeluarkan oleh United Nations iaitu seramai 31.95 juta. Bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di Malaysia menunaikan fardu haji, kita juga memohon pertimbangan khas dari Kerajaan Arab Saudi.

Antara pengisian lain dalam kunjungan ini, delegasi Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah telah dibawa meninjau perjalanan Kursus Bimbingan Haji dan juga proses pengendalian jemaah haji di Stesen Berlepas Movenpick Hotel & Convention Centre yang dilaksanakan oleh Tabung Haji.

Alhamdulillah pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini, Tabung Haji telah menerima Anugerah Labbaitom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam.

Anugerah ini amat bermakna buat Tabung Haji khususnya dan Malaysia amnya, kerana ia jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi atas keupayaan kita memberi bimbingan ibadat haji, dalam usaha melahirkan jemaah haji yang berilmu dan berdisiplin ketika melaksanakan haji.

Akhir kata, bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Mulia Khadimul Haramain Al Sharifain Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohamad bin Salman serta Kerajaan Arab Saudi atas kerjasama erat yang diberikan kepada Malaysia selama ini. Semoga hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuhkan demi kebajikan para Dhuyurfurrahman setiap tahun, Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
27 Februari 2023