KENYATAAN MEDIA
-
Malaysia dan Arab Saudi telah membuka lembaran baru dalam kerjasama bidang pensijilan halal. Kerjasama yang terjalin selama ini telah diperkukuhkan lagi dengan termeterainya Memorandum of Co-operation between The Government of Malaysia and The Kingdom of Saudi Arabia on Mutual Recognition of Halal Certification for Local Products yang berlangsung di Ibu Pejabat Saudi Food and Drug Authority (SFDA), Riyadh, Arab Saudi pada 25 Mei 2023. Kerajaan Malaysia diwakili oleh Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala Kerajaan Arab Saudi pula diwakili oleh Dr. Hisham Al-Jadhei, Ketua Pegawai Eksekutif, Saudi Food and Drug Authority (SFDA).
-
Melalui MOC yang ditandatangani ini, JAKIM akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh SFDA, manakala SFDA pula akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM. Ini membolehkan produk yang dikilangkan di Malaysia dan dipersijilkan oleh JAKIM serta menggunakan logo halal Malaysia memasuki pasaran Arab Saudi tanpa halangan. Begitu juga sebaliknya, produk yang dikeluarkan di Arab Saudi dan dipersijilkan serta menggunakan logo halal SFDA boleh memasuki pasaran Malaysia. Ini sekaligus memudahkan pengeksportan produk Malaysia ke Arab Saudi serta meningkatkan perdagangan produk halal antara kedua-dua negara.
-
Selain itu, MOC ini juga bermatlamat mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang pengurusan pensjilan halal. Ia membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal yang meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk halal demi kepentingan bersama. MOC ini akan menjadi perintis kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan halal yang lebih luas pada masa pada masa akan datang.