jata negara small
 
SIARAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
MAJLIS PERASMIAN DAN PELANCARAN PUSAT KHIDMAT KELUARGA, SOSIAL DAN KOMUNITI
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
KSKCARECENTRE@MTMZA 2018
___________________________________________________________________
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama rakan strategik iaitu Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI), Persatuan Psikospritual Islam (IPSA) dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) menganjurkan Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia; KSKCareCentre@MTMZA 2018 pada 20 September 2018 (Khamis) bersamaan 10 Muharram 1440H bertempat di Dewan Sheikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Majlis ini berlangsung mulai jam 8.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari dan disempurnakan oleh YB Puan Hajjah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk memantapkan kerjasama strategik antara agensi dalam membina sistem sokongan masyarakat secara lebih holistik dan berkesan. Di samping itu, ia dapat menjelaskan peranan Pegawai Runding cara dan Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri serta perkhidmatan khidmat nasihat, bimbingan yang disediakan dalam membantu komuniti setempat. Selain itu juga, ia bertujuan untuk mempromosikan pusat KSKCareCentre@Mtmza sebagai tempat rujukan dan pilihan masyarakat bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling melalui kaedah rawatan dan terapi Islam serta memperluaskan peranan khidmat nasihat berdasarkan kaunseling dan psikospiritual Islam secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Malah dengan medium seperti ini secara tidak langsung menjadi sebuah platform penting ke arah menyediakan satu model pusat sokongan komuniti yang mesra, profesional dan efisien di peringkat persekutuan.
 
Sebagai makluman, Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti ini diwujudkan adalah untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sosial umat Islam dengan menggunakan pendekatan agama berteraskan kepada al-Quran dan al-Hadith. PKKSK berfungsi sebagai pusat rujukan yang menyediakan khidmat nasihat, bimbingan kekeluargaan dan sosial kepada masyarakat Islam amnya. Rasional penubuhan PKKSK berdasarkan justifikasi masalah sosial telah menjadi isu nasional yang sangat membimbangkan dan perlu ditangani secara serius serta penglibatan bangsa Melayu Islam yang semakin meningkat. Pencegahan melalui pendekatan agama dipercayai antara usaha yang paling berkesan bagi menangani masalah gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini.
 
KSKCareCentre@Mtmza akan mula beroperasi pada setiap hari mulai Sabtu hingga Ahad pada jam .11.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Berteraskan konsep “Menyebar Risalah Menyantuni Ummah” dan “Tangan dihulur, bimbingan disalur”, Pusat rujukan komuniti ini menyediakan perkhidmatan secara profesional dan percuma dalam membantu membina kesejahteraan fizikal, spiritual, mental, emosi dan sosial Demi memantap dan memperkemaskan lagi elemen-elemen dan gerak kerja, JAKIM menyediakan beberapa modul sebagai asas rujukan dan panduan kepada Pegawai Khidmat Nasihat yang akan bertugas secara berjadual di KSKCareCentre@Mtmza adalah terdiri daripada Fasilitator PKKSK, Kaunselor PAKSI dan Psikospiritual Terapis IPSA yang terlatih dan bertauliah. Manakala modul dan manual yang akan digunakan sebagai panduan serta rujukan oleh Pegawai Khidmat Nasihat adalah seperti berikut :
 
Modul Pengukuhan Aqidah
Modul Kehamilan & Kelahiran
Modul Pendidikan Kanak-Kanak
Modul Kemahiran Keibubapaan
Modul Pengurusan Konflik Keluarga
Modul Pemerkasaan Saudara Muslim
Modul Pembangunan Remaja
Modul Interaksi Kejiranan
Modul Khidmat Nasihat Komuniti
Modul Kasih ke Syurga (warga emas)
Modul Psikospiritual Islam
Manual Kaunseling Syarie
 
Dianggarkan sejumlah 250 orang peserta yang akan menyertai majlis ini yang terdiri daripada Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri, Pegawai-pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Kaunselor Sekolah-Sekolah Rendah dan Menengah, Agensi-agensi Kerajaan dan Badan Berkanun, Pegawai dan Kakitangan PAKSI, Pegawai dan Kakitangan IPSA, Ahli Kariah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Komuniti Putrajaya.
Pengisian menarik yang disusun menerusi majlis ini adalah pembentangan kertas kerja iaitu :
 
Pembentangan 1
Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) :
Peranan dan Hala Tuju dalam Menyebar Risalah dan Menyantuni Ummah
Oleh : Tuan Haji Ruslan bin Said
Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM
 
Pembentangan 2
Konsep dan Aplikasi Rawatan Psikospiritual Islam Terhadap Masalah Jiwa
Oleh : Prof. Madya Dr. Che Zarrina binti Sa’ari
Timbalan Presiden Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA)
 
Pembentangan 3
Cabaran Kaunseling Islam dalam Mendepani Isi-Isu Semasa
Oleh : Dr. Haji Md. Noor bin Saper
Presiden Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI)
 
Kemuncak kepada majlis yang berprestij ini adalah acara memotong reben seterusnya menandatangani plak pelancaran dan pembukaan secara rasmi KSKCareCentre oleh YB Puan Hajjah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri disaksikan oleh YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM dan YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM.
Justeru, JAKIM amat berbesar hati dan sangat mengalu-alukan kedatangan semua lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira komposisi kaum dan bangsa serta agama KE KSKCARECENTRE@MTMZA MULAI JAM 11.00 PAGI HINGGA 1.00 TENGAHARI PADA SETIAP HARI DI MASJID TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN, PUTRAJAYA.
 
Sekian
 
DATUK HAJI MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah JAKIM
20 September 2018