AmanahRaya lindungi kepentingan pemilik sukuk

Tarikh Disiarkan: 
1 Apr, 2011
Sumber: 
Berita Harian Online
 
Pemegang amanah berperanan terima cagaran bagi aset milik penerbit sukuk sebagai sekuriti

SELAIN daripada bertindak sebagai pemegang amanah bagi tabung unit amanah Kumpulan AmanahRaya melalui anak syarikatnya, AmanahRaya Trustees Berhad juga menyediakan perkhidmatan peramanahan korporat bagi terbitan sukuk.

 
Dalam konteks terbitan sukuk pula, tugas pemegang amanah tertakluk kepada batasan yang disebut di atas. Manakala badan mengawal selia penerbitan sukuk di Malaysia adalah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
 
Mengikut peruntukan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 pemegang amanah diberi kuasa melindungi kepentingan pemegang sukuk iaitu pelabur korporat, institusi perbankan dan kewangan, syarikat insurans serta lain-lain lagi. Selain Akta tersebut, pemegang amanah juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas yang diperuntukkan di bawah Suratikatan Amanah serta dokumen transaksi lain yang berkaitan.

Suratikatan Amanah salah satu dokumen penting dalam terbitan sukuk. Ia dimeterai oleh penerbit sukuk dan pemegang amanah (bagi pihak pelabur). Lazimnya, Suratikatan Amanah mengandungi butiran lengkap sukuk yang diterbitkan antaranya:

·  Terbitan dan status sukuk.
·  Pembayaran kepada pemegang sukuk.
·  Event of Default.
·  Akaun-akaun bank.
·  Penggunaan hasil terbitan sukuk oleh penerbit sukuk.
·  Peruntukan tambahan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 mengenai kuasa-kuasa pemegang amanah.
·  Tanggung rugi pemegang amanah.
·  Mesyuarat pemegang sukuk.

Obligasi atau tugas yang perlu dilaksanakan oleh pemegang amanah bagi sesuatu terbitan sukuk boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

·  Ketika pra-terbitan sukuk.
·  Pasca-terbitan sukuk.
·  Ketika event of default.

Obligasi atau tugas yang perlu dilaksanakan bagi setiap bahagian tersebut antaranya seperti berikut:

·  Pra-terbitan sukuk.

a) Di peringkat ini pemegang amanah perlu memahami struktur dan perkara lain berkaitan sukuk yang bakal diterbitkan. Ppemegang amanah digalakkan menghadiri mesyuarat ketekunan wajar sebagai pemerhati.

b) Menghadiri mesyuarat ‘transaction documentation’ bersama ahli kumpulan kerja ketekunan wajar yang dilantik.

c) Memastikan semua dokumen perundangan disempurnakan mengikut undang-undang yang digunapakai. Di peringkat ini, sebarang isu syariah berkaitan terbitan sukuk juga akan dibincangkan dan diselesaikan.

 
Pasca-terbitan sukuk.

a) Memastikan pembayaran keuntungan berjadual kepada pemegang sukuk dibuat penerbit sukuk pada tarikh matang sesuatu sukuk.

b) Sepanjang tempoh sesuatu sukuk pula semua terma (information covenants dan reporting covenants) yang terdapat dalam Suratikatan Amanah dipatuhi sepenuhnya oleh penerbit sukuk.

c) Memantau dan mengawal aktiviti akaun bank dengan baik. Pemegang amanah juga boleh melaburkan dana berkenaan dalam instrumen yang dibenarkan di bawah Suratikatan Amanah.

d) Memastikan semua dokumen dan laporan seperti diperuntukkan di bawah Suratikatan Amanah diterima tepat pada masanya daripada penerbit sukuk.

e) Mengawalselia perkara berkaitan pematuhan ke atas peruntukan undang-undang, peraturan, terma dan sebagainya bagi sesuatu terbitan sukuk. Ini termasuk pemeriksaan ke atas buku dan rekod penerbit sukuk.

f) Melaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti sebarang ketidakpatuhan yang berlaku dan ‘Material Adverse Event.’

·  ‘Event of Default (EOD),’

a) Mengeluarkan notis EOD kepada semua pemegang sukuk apabila penerbit sukuk tidak dapat menyelesaikan isu dalam tempoh yang dibenarkan.

b) Mempengerusikan Mesyuarat Pemegang Sukuk.

c) Mengeluarkan notis mesyuarat pemegang sukuk bagi mendapatkan arahan lanjut daripada pemegang sukuk.

d) Mengambil tindakan dan melaksanakan arahan yang diputuskan semasa mesyuarat pemegang sukuk.

Terdapat pelbagai jenis sukuk di pasaran seperti sukuk mudharabah, sukuk musyarakah, sukuk Istisna dan lain-lain lagi. Manakala, struktur sesuatu sukuk pula bergantung kepada kesesuaian model perniagaan dan model kewangan penerbit sukuk.

Justeru, peranan pemegang amanah juga akan disesuaikan mengikut keperluan model tersebut bagi tujuan untuk melindungi kepentingan pelabur. Untuk ruangan ini, bagi menerangkan lagi fungsi pemegang amanah di dalam sesuatu terbitan sukuk kita akan melihat contoh-contoh terbitan sukuk yang mudah.

 
·  ,b>Sukuk Ijarah.

Syarikat A memerlukan dana untuk membiayai modal pusingannya sebanyak RM100 juta. Syarikat A juga mempunyai aset nyata berupa bangunan bernilai pasaran lebih RM200 juta. Bagi Syarikat A untuk mendapatkan pembiayaan sukuk di bawah prinsip ijarah, ia perlu memeterai perjanjian jualan aset ijarah dengan pemegang amanah yang mewakili pelabur di mana semua hak dan kepentingan ke atas bangunan tersebut dipindahkan kepada pemegang amanah bagi pihak pelabur. Sementara itu, Syarikat A bersetuju di bawah Perisytiharan Amanah (Declaration of Trust) untuk memegang aset ijarah bagi kepentingan pemegang amanah. Seterusnya Syarikat A akan mengeluarkan sukuk Ijarah kepada para pelabur sebanyak RM100 juta.

Memandangkan syarikat A memerlukan bangunan tersebut untuk beroperasi maka Syarikat A sebagai penerima pajakan (lessee) perlu memajak semula sewa bangunan itu daripada pemegang amanah sebagai pemegang pajakan (lessor). Sebagai balasannya, Syarikat A perlu membayar sewa ke atas hak dan kepentingan yang diperoleh daripada bangunan tersebut kepada pelabur (pembayaran Ijarah). Di akhir tempoh Ijarah tersebut, Syarikat A berjanji membeli semula bangunan daripada pemegang amanah seperti termaktub di bawah ‘purchase Undertakings.’
l Sukuk Mudharabah.

Syarikat B adalah pengedar mesin berat di Lembah Klang dengan purata hasil jualan RM10 juta sebulan. Ia memerlukan RM80 juta untuk membiayai pembukaan sebuah kilang di utara tanah air.

Bagi mendapatkan pembiayaan di bawah prinsip mudharabah, Syarikat B perlulah membuat persetujuan dengan pemegang amanah yang mewakili pelabur (bank) untuk menjadikan perniagaan itu sebagai Mudharabah ‘venture.’ Seterusnya, ia boleh menerbitkan sukuk mudharabah sebanyak RM100 juta untuk tujuan itu. Segala keuntungan akan dibahagikan di antara Syarikat B (mudharib) dan pelabur (rabbul maal) mengikut kadar yang dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung oleh pelabur.

Daripada dua contoh yang diterangkan di atas, jelas menunjukkan kedudukan pemegang amanah di dalam sesuatu struktur sukuk. Oleh yang demikian adalah penting bagi semua pihak yang terlibat di dalam terbitan sesuatu sukuk untuk bekerjasama rapat dengan pemegang amanah kerana peranan pemegang amanah ternyata amat penting disebabkan ia perlu melaksanakan pelbagai tugas seperti yang termaktub di dalam dokumen perjanjian bagi menjamin hak dan kepentingan para pelabur dilindungi sepanjang tempoh pembiayaan.

 
Makluman: Artikel ini dipetiksecara langsung dari akhbar Berita Harian Online pada 1 April 2011.