Dimensi zakat

Tarikh Disiarkan: 
29 Jan, 2013
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
 
RUKUN Islam yang ketiga adalah zakat. Dalam terminologi fiqh didefinisikan sebagai sebahagian daripada kekayaan yang wajib di keluarkan untuk orang-orang yang berhak menerimanya.
 
Mahmud Syaltut, ulama Mesir mentafsirkan zakat sebagai ibadah kebendaan yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk menolong atau membantu orang miskin dalam melangsungkan kehidupan.
 
Zakat memiliki dua dimensi, iaitu dimensi ibadah dan dimensi sosial. Dimensi ibadah di laksanakan dengan perantaraan harta dalam rangka mematuhi perintah Allah SWT serta mengharapkan pahalanya. Sementara dimensi sosial pula dilaksanakan atas dasar kemanusiaan.
 
Hukum zakat adalah wajib, sedangkan hukum infak atau sedekah adalah sunnah. Al-Quran menyebut tentang zakat sebanyak 32 kali, dan 26 di antaranya bersamaan dengan kata solat. Ini menunjukkan bahawa kedua-duanya sangat penting dalam Islam
 
Pada awal kelahiran Islam di Mekah, seruan berzakat disampaikan dengan ungkapan anfiqu fi sabilillah (berinfaklah di jalan Allah SWT). Pada masa itu, klasifikasi zakat belum ditentukan jenis harta yang wajib diinfakkan. Begitu juga nisab dan khaul (jumlah) yang perlu dikeluarkan.
 
Keadaan ini berterusan sehingga 1 Hijrah setelah Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah. Pada saat itu mereka belum bersedia menerima kewajipan berzakat mengikut jenis nisab dan khaul. Mereka diberi kebebasan untuk menafkahkan apa sahaja menurut kadar yang mereka kehendaki.
 
Pada tahun ke-2 Hijrah, Allah SWT memerintahkan untuk menunaikan zakat dengan ungkapan atu az-zakah (al-Baqarah: 43). Seiring dengan perintah itu, Nabi Muhammad SAW menjelaskan ketentuan zakat, seperti jenis harta yang wajib dizakatkan, kadar nisab dan jumlahnya.
 
Di samping memiliki dimensi ibadah, zakat juga memiliki dimensi sosial. Zakat digunakan untuk kepentingan umum dalam mengurangi masalah-masalah sosial seperti membantu orang-orang yang kekurangan dan daif.
 
Melalui amalan berzakat, jurang antara golongan ekonomi lemah dengan ekonomi kuat semakin mengecil. Golongan kaya akan membantu golongan miskin dan yang miskin pula selalu mendoakan yang kaya agar ekonominya bertambah baik.
 
Secara global, terdapat dua kategori zakat, iaitu zakat mal (harta) dan zakat fitrah. Zakat mal adalah kadar kekayaan yang wajib dikeluarkan untuk orang yang berhak menerimanya dengan kadar yang tertentu. Zakat fitrah adalah zakat peribadi yang di keluarkan setiap Hari Raya Aidilfitri, berupa makanan asasi atau wang menurut kadar yang diwajibkan. Zakat fitrah boleh dikeluarkan pada awal Ramadan tetapi diutamakan pada akhir Ramadan, iaitu sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 29hb Januari 2013.