Harga dalam Islam

Tarikh Disiarkan: 
23 Mar, 2011
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
 
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
 
Kebanyakan kita kurang mampu untuk memiliki sesuatu barang seperti rumah dan kenderaan dengan bayaran secara tunai. Mungkin hanya sebilangan kecil sahaja yang mampu memilikinya dengan bayaran secara tunai tanpa berhutang.
 
Untuk menyelesaikan permasalahan ini, Islam memberikan kelonggaran untuk kita mendapatkan sesuatu barang dengan bayaran secara ansuran (tangguh).
 
Ini bermakna, barang yang menjadi subjek kepada kontrak jual-beli itu diperolehi dengan segera, namun bayarannya dilakukan secara ansuran.
 
Dalam sistem perbankan Islam masakini, konsep bayaran secara tangguh telah diaplikasikan melalui produk Bai' Bithaman Ajil (BBA) dan Murabahah.
 
Kesemuanya melibatkan bayaran secara tangguh sama ada secara ansuran atau secara sekali gus (lump sum) pada masa hadapan.
 
Namun, apa yang mengelirukan kita adakah Islam membenarkan meletakkan beberapa harga kepada satu barang iaitu harga tunai dan harga tangguh atau harga yang berbeza-beza mengikut masa yang akan diambil untuk menyelesaikan pembayarannya.
 
Sebagai contoh, Ahmad ingin membeli sebuah kereta yang berharga RM100,000 secara tunai. Di samping harga berkenaan, penjual kereta juga turut menawarkan pembayaran secara ansuran iaitu RM120,000 untuk sembilan tahun, RM125,000 untuk 10 tahun dan sebagainya.
 
Semakin panjang tempoh melangsaikan bayaran yang dipilih, maka semakin meningkat harga yang dikenakan.
 
Ramai yang menganggap bahawa urusniaga yang digambarkan di atas adalah riba. Persoalan ini berbalik semula kepada perbezaan antara jual-beli dan riba.
 
Kenyataan seumpama ini sebenarnya telah wujud pada zaman jahiliah lagi sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud ...disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. (al-Baqarah: 275)
 
Ia berbalik semula kepada kefahaman tentang perbezaan antara jual-beli dan riba. Allah SWT telah membezakan di antara kedua-duanya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba…(al-Baqarah: 275)
 
Sekiranya penangguhan pembayaran itu didasari dengan kontrak jual-beli, maka ia dikira sebagai halal. Ini adalah disebabkan apabila wujudnya penangguhan, pihak penjual terpaksa menunggu untuk suatu jangka waktu yang ditetapkan dan dia tidak dapat menggunakan wang tersebut kerana masih di tangan pembeli.
 
Pihak penjual juga berdepan dengan risiko pihak pembeli tidak dapat melunaskan pembayarannya pada masa akan datang. Maka, majoriti ulama bersetuju bahawa tempoh masa dalam kontrak jual-beli mempunyai harganya yang tersendiri.
 
Dengan kata lain, adalah dibenarkan kepada pihak penjual untuk meningkatkan harga barang yang dijual disebabkan penangguhan masa. Namun begitu, harga berkenaan perlu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak semasa kontrak untuk mengelakkan dua harga dalam satu barang.
 
Riba jahiliah
 
Ini mungkin akan menimbulkan isu gharar (ketidaktentuan) dalam harga barangan berkenaan.
Pihak penjual tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga barang atau mengenakan denda selepas kontrak dilakukan walaupun disebabkan kelewatan ketika pembayarannya.
 
Harga mestilah merujuk kepada yang telah dipersetujui bersama di antara penjual dan pembeli.
Konsep keuntungan jual-beli ini sangat berbeza dengan riba yang biasa berlaku dalam kontrak pinjaman (qard). Sekiranya yang memberi pinjaman mengenakan kenaikan pada kadar pulangan disebabkan penangguhan bayaran, ia dikira sebagai riba.
 
Sebabnya, kontrak pinjaman bermotifkan untuk membantu peminjam, bukannya untuk memperolehi keuntungan dengan mengeksploitasikan kesusahannya.
 
Ini bermakna, sekiranya pihak yang berhutang gagal membayar semula sebagaimana yang dipersetujui, haram bagi pihak yang memberikan pinjaman untuk mengenakan denda atau caj tertentu.
 
Praktis ini dikenali sebagai riba jahiliah yang diharamkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang bapa saudaraku Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan". (riwayat Ibn Hibban dan At-Tirmidzi)
 
Namun begitu, kita tidak dapat menafikan terdapat segelintir individu yang sengaja enggan membayar hutang walaupun mempunyai kemampuan. Fenomena ini akan memberikan kesan mudarat kepada pihak yang memberikan pinjaman sebagaimana institusi-institusi perbankan Islam yang berdepan dengan keengganan pelanggan untuk melunaskan hutang mereka. Justeru, pihak Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-4 bertarikh 14 Februari 1998, mesyuarat ke-95 bertarikh 28 Januari 2010 dan mesyuarat ke-101 bertarikh 20 Mei 2010 memutuskan bahawa pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda atau penalti) dan ta'widh (ganti rugi) adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:
 
Ta'widh boleh dikenakan ke atas kelewatan pembayaran obligasi kewangan yang terhasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewaan) dan qard.
 
Ta'widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak.
 
Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta'widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi atas kerugian sebenar yang dialami oleh institusi perbankan Islam; dan
 
Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, sebaliknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 23 Mac 2011.