Jangan khianati amanah

Tarikh Disiarkan: 
16 Nov, 2011
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
 
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
 
BARU-baru ini kita didedahkan dengan laporan Ketua Audit Negara tentang dapatan-dapatan yang menunjukkan wujudnya penyelewengan dalam menguruskan harta.
 
Laporan tersebut jelas menunjukkan terdapatnya salah guna kuasa dan pecah amanah. Antaranya melibatkan pembelian barang serta peralatan dengan harga yang melampau sehingga ada yang mencapai 2,805% jauh lebih tinggi dari harga pasaran.
 
Laporan ini membuat kita terfikir bagaimana tandusnya sikap amanah dalam diri segelintir masyarakat yang ada pada hari ini. Adakah sudah tiada pertimbangan dosa dan pahala dalam kehidupan seharian mereka?
 
Dalam soal amanah ini, Allah SWT menggambarkan ia adalah berat dan sangat mudah diseleweng apabila tidak diuruskan dengan iman dan taqwa.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab : 27)
 
Amanah adalah perkataan yang diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud kesetiaan, kepercayaan dan kebertanggungjawaban.
 
Mengikut Imam Ibnu Al-Athir dalam kitabnya Al Nihayah fi Gharib al Hadith wa al Athar, amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan.
 
Daripada segi istilah, amanah bermaksud sesuatu yang diserahkan kepada seseorang untuk disimpan, dijaga dan dipelihara, sama ada harta, rahsia dan sebagainya.
 
Kerja yang kita lakukan di pejabat juga boleh dianggap sebagai amanah kerana ia perlu dijaga dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, lebih-lebih lagi kita mendapat gaji berdasarkan pekerjaan tersebut.
 
Amanah adalah satu taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemuliaan). Setiap manusia mempunyai amanah dan tanggungjawab mereka sendiri.
 
Paling kurang, manusia itu pasti mempunyai tanggungjawab terhadap dirinya sendiri. Amanah yang diserahkan kepadanya ini akan dipikul sebaik mungkin sekiranya dia merupakan seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menganggap ia satu taklif(tanggungjawab) yang mesti ditunaikan.
 
Sebaliknya, sekiranya dia merupakan orang yang lemah imannya, maka amanah yang diberikan itu akan dianggap sebagai satu kemuliaan dan kebanggaan tanpa melaksanakannya dengan betul.
 
Keadaan sebegini menimbulkan kesedaran betapa pentingnya manusia itu mempunyai nilai kehidupan yang baik bagi dijadikan asas dan pedoman hidup.
 
Bagi orang Islam, tentunya kehidupan yang berkat adalah kehidupan di dalam lingkungan syariat Islam, yang mengawal tingkah laku mereka serta memandu mereka memilih jalan yang diredai Allah SWT.
 
Kepada seorang mukmin, mematuhi syariah adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Ini kerana pertimbangan akal dan nafsu sahaja tidak menjamin syarak dipatuhi.
 
Juga jika kita berpandukan terdapat ramai orang yang melakukannya, ini tetap tidak bermakna ia selari dengan syarak.
 
Oleh yang demikian kehidupan yang baik adalah keyakinan dan kepatuhan yang teguh terhadap agama. Ini menjadikan manusia sentiasa patuh, taat dan tunduk kepada-Nya.
 
Apabila ini terjadi, orang yang memegang amanah akan menunaikannya kepada mereka yang berhak, kerana amanah ini bukan sahaja terhadap manusia tetapi lebih utama ialah terhadap Allah SWT.
 
Kita perlu yakin hanya dengan keimanan yang teguh akan membawa kita kepada kehidupan yang diredai Allah.
 
Di alam pekerjaan, setiap kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita adalah amanah. Amanah tersebut tidak boleh dikhianati sama sekali.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 16hb November 2011