Kaki judi menang dalam kalah

Tarikh Disiarkan: 
24 Jun, 2010
Sumber: 
Harian Metro
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my - Harian Metro
2010/06/11
 
MENJADI pemandangan biasa, segelintir umat Islam tanpa perasaan malu dan bersalah membeli nombor ekor.

TAK TAHU MALU...segelintir kaki ekor tidak mempedulikan pandangan orang ramai masuk ke premis nombor ramalan secara terbuka.
 
Lebih mendukacitakan, ada yang baru saja baru selesai bersolat di masjid, tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah sempat melencong membeli nombor ekor.

Semakin banyak ceramah agama sama ada di masjid atau kaca televisyen, perbuatan umat Islam semakin menjadi-jadi sehingga sanggup mengetepikan hukum Allah bahawa berjudi itu haram.

Inilah perlakuan manusia akhir zaman. Sepatutnya sembahyang mencegah kemungkaran, tetapi mereka seperti menghalalkan perbuatan itu.

Berjudi tidak hanya di kedai nombor ekor, malah semakin ramai umat Islam sanggup melakukan di kafe siber atau Internet yang menggunakan pelbagai kaedah.

                                                                                     

SERBU...operasi membanteras kaki judi perlu dipertingkatkan
dan mengenakan tindakan lebih berat kepada pesalah.
 
Malah, tidak hairan sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, ramai umat Islam yang bertaruh untuk berjudi. Tujuannya satu, ingin cepat kaya dengan cara mudah.
 
Demikianlah apabila perkara yang haram dijadikan tabiat. Ketagihan 'membutakan' hati dan jiwa mereka sehingga tidak mempedulikan yang secara jelas melakukan dosa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, pemujaan berhala dan merenung nasib adalah keji daripada perbuatan syaitan. Sebab itu hendaklah kamu jauhi, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan." (Surah al-Maidah ayat 90).

 
Allah berfirman yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)". Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir. (Surah al-Baqarah ayat 219).

Demikian betapa kejinya judi dalam kehidupan seseorang. Sekalipun menganggap diri mereka bertuah, kemenangan itu tidak bererti sama sekali kerana mereka 'kalah teruk' apabila tunduk kepada nafsu dan syaitan.

Ia menjadikan seseorang itu mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga serta menjadi punca kepada gejala sosial dan jenayah yang melata sekarang.

Melalui perjudian, mereka berhasrat untuk mendapat keuntungan dengan segera sedangkan sebagai manusia kita perlu berusaha dan berikhtiar untuk berjaya.

Ketagih berjudi semakin menjadi-jadi dalam kalangan umat Islam. Walaupun banyak serbuan dan tangkapan, mereka tidak serik dan sanggup menanggung risiko.

Lebih malang, ada yang lanjut usia dan bergelar warga emas masih sanggup berjudi dan membeli nombor ekor. Tidakkah mereka takut menggunakan wang haram untuk memberi makan minum anak isteri?

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Setiap daging yang terhasil daripada bahan makanan yang haram itu api nerakalah yang layak baginya". (Riwayat Tarmizi).

Justeru, umat Islam disarankan berusaha keras mencari nafkah atau wang hasil sumber yang halal. Terlalu luas bumi Allah ini untuk kita mencari rezeki.

Kita perlu ingat, sekali terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti membeli nombor ekor, berjudi melalui Internet, pertaruhan dengan mesin slot dan kuda, semua tabiat itu sukar untuk dihentikan.

Bahana judi akan terus berpanjangan jika sejarah bapa sendiri yang kaki judi. Seseorang akan berasakan berjudi mengatasi keperluan keluarganya.

Itu belum lagi dengan tanggungan hutang yang membelenggu mereka sehingga ada yang sanggup berhutang dan meminjam daripada along.

Selain itu, hubungan orang berjudi dengan Allah juga semakin jauh kerana mereka hanya memikirkan keseronokan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat (golongan) yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan yang makruf (yang baik) dan melarang kemungkaran dan mereka itulah orang yang berjaya." (Surah Ali Imran ayat 104).

Ramai kaki judi menjadi muflis, papa kedana sehingga rumah tangga kucar-kacir kerana kalah judi. Inilah bahaya judi dan Islam mengharamkan perbuatan itu kerana manusia perlu berusaha, insya-Allah akan memperoleh rezeki, bukan bergantung kepada berjudi.

Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Abdul Salam Muhamad Shukri, berkata Islam mengharamkan judi kerana lebih banyak kesan buruk kepada individu, keluarga dan negara.

"Islam menuntut umatnya berusaha keras dalam pekerjaan mereka kerana amalan berjudi adalah cara mudah bagi mendapatkan wang.

"Melalui perjudian, harta yang ada dihabiskan secara tidak sah dan sebab itu Islam melarang perpindahan harta tanpa ada urusan jual beli," katanya.

Abd Salam berkata antara unsur judi adalah mendapat untung melalui jalan singkat tanpa berusaha seperti permainan yang memerlukan pertaruhan wang .

"Contohnya peraduan SMS termasuk dalam kategori judi kerana ia membabitkan pertaruhan dalam bentuk bayaran bagi mendapatkan hadiah lebih bernilai.

"Justeru, umat Islam dilarang berjudi dan jangan mendekati apa saja jalan ke arahnya," katanya.

Berbeza pula dengan cabutan bertuah, Abd Salam berkata ia tidak dianggap judi kerana tiada pertaruhan antara pemegang tiket nombor dalam sesuatu majlis.

"Cabutan bertuah adalah janji penganjur untuk memberi hadiah kepada orang ramai sebagai tanda terima kasih atau ingatan.

"Disebabkan semua memenuhi syarat untuk menerima beberapa hadiah berkenaan, maka undian yang dilakukan bagi menentukan siapa yang berhak," katanya.

Katanya, unsur perjudian wujud apabila seseorang itu menang dalam pertaruhan untuk mendapatkan sesuatu dan apabila kalah dia berhutang dengan pihak lain.