Kembali ke era Khalifah Umar Abdul Aziz

Tarikh Disiarkan: 
30 Sep, 2011
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh DATUK ANAN C. MOHD.

PENULIS ialah Ketua Pengarah
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar)
Jabatan Perdana Menteri
E-mel: anan@jawhar.gov.my
 
INOVASI merupakan hasil cetusan idea kreatif yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi melalui idea baru, atau yang diadaptasi untuk keperluan organisasi.
 
Ia boleh membawa transformasi kepada amalan sedia ada dalam pelbagai aspek seperti kaedah, sistem, produk, perkhidmatan, proses, teknologi dan sebagainya. Inovasi berkait rapat dengan sistem penyampaian perkhidmatan sesebuah organisasi.
 
Transformasi pula bermaksud perubahan bentuk dari segi sifat, rupa dan keadaan. Penerapan budaya inovasi dan transformasi ini akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada pelanggan.
 
Institusi Baitulmal sejak zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W. lagi mengalami beberapa fasa transformasi selari dengan peredaran zaman di mana sejarah mencatatkan kecemerlangannya pada era pemerintahan Khalifah 'Umar al-Khattab seterusnya zaman kegemilangannya ketika pemerintahan Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz.
 
Oleh sebab semasa zaman pemerintahan Khalifah 'Umar bin al-Khattab menyaksikan pengembangan empayar Islam secara meluas dan sumber pendapatan yang disalurkan ke Baitulmal semakin meningkat, beliau mentransformasikan sistem tadbir urus Baitulmal supaya harta ummah diuruskan dengan lebih efisien terutamanya dari segi pengagihannya supaya sampai ke golongan sasar serta dilaksanakan dengan adil dan pantas.
 
Seterusnya, sejarah sekali lagi menyaksikan transformasi terhadap institusi baitulmal, pada zaman pemerintahan Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz. Pada zaman itu, dana zakat yang dipungut sukar disalurkan kepada yang berhak kerana kesukaran mencari asnaf yang layak menerimanya.
Ini kerana kecemerlangan dasar pengurusan ekonomi negara secara berhemah oleh Khalifah 'Umar menjadikan masyarakat rata-ratanya mempunyai keperluan yang mencukupi serta mempunyai taraf hidup agak tinggi.
 
Hal ini membuktikan bahawa melalui inovasi, dana Baitulmal terutamanya daripada sumber zakat boleh dikembang dan ditransformasikan sehingga menjadi lebih produktif, mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan bukan untuk menampung keperluan penerima bantuan dalam tempoh tertentu sahaja.
Di Malaysia, setiap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang amanah tunggal kepada harta umat Islam seperti harta wakaf, zakat dan sumber am baitulmal untuk diagih serta digunakan demi "maslahah 'ammah" (kebajikan umum). Agihan dalam bentuk maslahat umum terutamanya melalui dana Baitulmal dalam bentuk infrastruktur seperti pembinaan terusan atau tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, sekolah, pusat latihan, pusat perlindungan dan sebagainya boleh dirasai semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.
 
Penerapan aspek inovasi dan transformasi yang dilaksanakan oleh pihak pentadbir Baitulmal setiap negeri di Malaysia antaranya melalui konsep "memberi kail" kepada para asnaf zakat supaya dana tidak dihabiskan dalam jangka masa singkat sahaja, tetapi digunakan sebagai modal menjana pendapatan lebih lumayan dan dapat memberi faedah jangka masa panjang.
 
Sebagai contoh, latihan yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Institut Profesional Baitulmal (IPB) di Kuala Lumpur berjaya melahirkan ramai asnaf zakat dalam bidang kerjaya dan keluar daripada kemiskinan seterusnya menjadi penyumbang pula kepada dana zakat.
 
Melalui dana wakaf pula, tanah-tanah wakaf yang berpotensi dan berkedudukan strategik boleh dibangunkan menjadi pusat komersial yang boleh menjana pendapatan tinggi seterusnya hasil itu dijadikan tabung pusingan modal untuk membangunkan hartanah wakaf lain yang berpotensi serta digunakan untuk pembangunan sosioekonomi ummah.
 
Di samping pembinaan bangunan seperti masjid, rumah anak yatim dan seumpamanya, pembinaan hotel wakaf, pusat hemodialisis, bangunan perniagaan dan ruang pejabat akan dapat mengembangkan lagi dana wakaf melalui pendapatan yang diperoleh yang akan digunakan bagi pembangunan projek wakaf lain termasuklah dalam bidang kebajikan dan pendidikan.
 
Usaha-usaha ini telah dirintis oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) selaku agensi di peringkat persekutuan melalui peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 sebanyak RM256 juta.
 
Projek-projek rintis JAWHAR ini dilaksanakan dengan kerjasama MAIN negeri, antaranya Asrama Anak Yatim Darul Aitam Wal Masakin di Alor Setar, Kedah, Ruang Niaga di Mukim Ulu Kinta, Perak, Pusat Saudara Baru di Seremban, Negeri Sembilan, Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Balik Pulau, Pulau Pinang, Pusat Hemodialisis di Batu Pahat, Johor, Hotel Pantai Puteri di Tanjung Kling, Melaka dan lain-lain.
 
Kegemilangan ekonomi ummah sebagaimana pada zaman Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz tidak mustahil berlaku di Malaysia sekiranya dana Baitulmal digunakan secara bijaksana untuk meningkatkan taraf hidup fakir miskin sehingga mampu berdikari, tidak mengharapkan bantuan dan sumbangan berterusan, seterusnya mampu berubah menjadi penyumbang kepada dana zakat demi kemajuan ummah.
JAWHAR selaku agensi persekutuan yang berperanan menyelaras dan memperkasa tadbir urus institusi Baitulmal di Malaysia menganjurkan Program Promosi Baitulmal 2011 selama dua hari bermula hari ini serentak dengan penganjuran Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam di Malaysia 2011 anjuran Pejabat Penasihat Agama kepada Perdana Menteri bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan baitulmal serta menzahirkan hasil inovasi dan transformasi yang dilakukan.
 
Program Promosi Baitulmal 2011 yang bertemakan "Bersama Menyumbang dan Berbakti" disasarkan akan mengumpul semua agensi berkaitan dengan pengurusan Baitulmal di Malaysia dalam satu kluster iaitu JAWHAR, MAIN, Agensi Mengurus Zakat (AMZ), YWM, World Zakat Organization (WZO) dan sebagainya bagi mempromosikan segala produk dan perkhidmatan disediakan untuk masyarakat.
Program ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kadar celik kewangan Islam di kalangan masyarakat Islam melalui instrumen yang dianjurkan oleh Islam antaranya wakaf/sedekah jariah, zakat, hibah, sedekah, wasiat, nazar dan lain-lain sebagai alat pengurusan kewangan di samping pelaburan ibadat untuk akhirat bagi mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT, insya-Allah.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 30hb September 2011