Nama haram pada produk halal undang kekeliruan

Tarikh Disiarkan: 
29 Jun, 2011
Sumber: 
Berita Harian Online
Oleh Mohd Amri Abdullah

“Di mana tempat yang sedap nak makan? “Sedap ke makanan di situ.” Itulah antara dialog yang biasa kita dengar berhubung soal makanan. Jarang sekali kita dengar pertanyaan: “Di mana tempat yang halal nak makan?” “Halal ke makanan tu.” Ini menunjukkan pengguna Islam di Malaysia sentiasa bersangka baik mengenai status halal sesuatu produk. Lebih-lebih lagi kecanggihan teknologi makanan dunia menyebabkan umat Islam keliru status halal selepas menjenamakan semula produk.

Penulis sering ditanya adakah boleh menggunakan perkataan ‘halal’ untuk ‘bak kut teh,’ ‘hamburger,’ ‘hotdog,’ ‘beefbacon,’ ‘turkeyham,’ ‘bir’ dan lain-lain.

 
Akhir-akhir ini, media massa juga banyak membangkit isu menggabungkan nama ‘halal’ dengan istilah yang mengelirukan dan haram, terutama isu bir halal yang menjadi polemik kepada orang Islam. Begitu juga dengan nama ‘beefbacon,’ ‘hamburger’ dan ‘chickenham’ digunakan oleh restoran dan hotel untuk menarik golongan bukan Islam atau pelancong asing. Walaupun ia adalah daging lembu atau ayam tetapi dengan nama itu ia menunjukkan seolah-olah seperti daging babi.Sebenarnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah lama mengharamkan nama-nama ini kepada industri halal untuk mendapatkan Sijil Halal. Semuanya ini bertentangan dengan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Malaysia Standard MS 1500:2009 yang menjadi asas kepada JAKIM dan jabatan agama Islam negeri (JAIN) dalam pengurusan pensijilan halal. Ini bermakna JAKIM dan JAIN tidak akan mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat atau produk yang menggunakan nama-nama yang dikaitkan dengan perkara yang haram.

Oleh sebab itulah, JAKIM tidak boleh memberikan sijil halal kepada bir yang didakwa halal. Tidak semestinya tidak mabuk itu halal. Haramnya kerana ia najis. Pengharaman sesuatu produk itu telah diambil kira banyak perkara termasuk bahan yang digunakan, cara proses, peralatan dan termasuk kesan kepada pengguna, selain sumber al-Quran dan hadis.

Sheikh Dr Yusof Al-Qardhawi (Tokoh Maal Hijrah 2009) dalam bukunya Halal wal Haram fil Islam (Halal Dan Haram Dalam Islam) menjelaskan dalam prinsip ketujuhnya iaitu akan ada manusia akan membuat tipu daya dengan menggambarkan perkara yang haram itu dengan ditukar namanya kepada halal. Hadis Nabi SAW: “Nanti akan ada segolongan daripada umatku yang menganggap minuman khamar itu halal dengan menamakannya dengan nama yang lain.” (HR Ahmad).

Nabi SAW bersabda lagi: “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (HR Bukhari dan Muslim)
Lantaran itu, peranan JAKIM bukan hanya mengeluarkan sijil halal kepada produk atau syarikat semata-mata tetapi juga melihat kesan ke atas generasi Islam sedunia yang memakan produk berkenaan.

Jika diberikan sijil halal kepada nama itu di Malaysia, maka apabila ke luar negara generasi ini akan beranggapan ia halal. Antara alasan inilah JAKIM memainkan peranan tanggungjawab agama dan sosial tidak mengeluarkan sijil halal kerana mencegah adalah lebih baik daripada berubat.

Kita tidak harus merosakkan fikiran generasi muda dengan nama haram yang dihalalkan. Justeru, penulis mencadangkan agensi lain seperti Kementerian Pelancongan, pihak berkuasa tempatan dan pihak lain yang berkaitan supaya tidak membenarkan nama-nama yang haram ini digabungkan dengan perkataan halal untuk tujuan promosi atau sebagainya supaya pengguna tidak terkeliru. Sebagai pengguna bijak dan berinfomasi, seharusnya meninggalkan perkara merosakkan ini.

INFO

 
·  Dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menyatakan permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya menggunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara yang haram seperti bak kut teh dan sebagainya.
·  Dalam klausa 3.7.4 MS 1500:2009 juga menyebut: Makanan halal dan bahan perasa tiruan halal, hendaklah tidak menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan atau merujuk kepada makanan tidak halal seperti ham, bak kut teh, bacon, bir, rum dan sebagainya.

Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan, Unit Pengawasan dan Penguatkuasaan Hab Halal JAKIM

 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Berita Harian Online pada 29 Jun 2011.