Perbankan Islam kini industri global, bakal terus berkembang pesat

Tarikh Disiarkan: 
24 Sep, 2012
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh WASIM SAIFI
WASIM SAIFI ialah Ketua Global, Perbankan Islam, Perbankan Pengguna di Standard Chartered Saadiq
 
LIMA belas tahun lalu, umat Islam yang ingin mendapatkan pembiayaan kediaman menggunakan kad kredit atau mendepositkan wang ke dalam akaun semasa, mengelak daripada berbuat demikian dan memilih untuk patuh kepada undang-undang Syariah.
 
Oleh kerana terdapat hanya segelintir bank Islam dan rangkaian produk syariahnya terbatas, individu beragama Islam selalunya terpaksa berkompromi sama ada mahu memenuhi tuntutan agama atau keperluan kewangan apabila berdepan dengan keadaan ini.
 
Di kebanyakan pasaran hari ini, kompromi sebegini tidak lagi perlu. Perbankan Islam telah menjadi sebahagian daripada arus perdana, boleh didapati secara meluas merentasi produk kewangan dan kedudukan geografi.
 
Mengikut kajian Ernst & Young, aset perbankan Islam di seluruh dunia pada tahun 2012 dijangka mencecah AS$1.1 trilion (RM3.52 trilion), naik 33 peratus daripada tahun 2010. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, perbankan Islam telah berubah menjadi satu industri yang global.
 
Terdapat tiga penggerak utama di sebalik perkembangan luar biasa ini - tiga sebab mengapa saya percaya bahawa perbankan Islam akan terus berkembang lebih pesat jauh ke dekad berikutnya.
 
Pertama, persaingan yang meningkat telah membantu meluaskan penawaran produk patuh Syariah , untuk berada dalam ruang lingkup bilangan umat Islam yang lebih besar. Pada awal tahun 2000, langkah yang diambil oleh bank-bank Islam untuk menjadikan produk patuh syariah lebih menarik telah membawa perubahan besar terhadap industri.
 
Buat julung kalinya, bank-bank Islam bukan hanya dapat memenuhi keperluan pelanggan dari aspek komersial malahan pada masa yang sama mematuhi Syariah. Bank konvensional yang mahu mengekalkan pelanggan Islam mereka turut mengambil peluang untuk turut serta, sekali gus membantu mengembangkan pasaran keseluruhan di seluruh dunia.
 
Kedua, melihatkan apa yang ditawarkan perbankan Islam semakin menarik, umat Islam telah beralih daripada perbankan konvensional pada tahap yang lebih pantas, mendorong industri menawarkan produk yang jauh lebih canggih. Pengguna Islam yang sudah terbiasa menggunakan kad kredit, misalnya, tidak akan mahu kehilangan manfaat menggunakannya apabila beralih ke perbankan Islam.
 
Tidak kira daripada segi akses, teknologi, produk atau perkhidmatan, mereka mahukan tidak kurang dari apa yang ditawarkan bank konvensional dan ternyata bank Islam berjaya memenuhinya. Umat Islam masa kini mempunyai pilihan untuk melaksanakan keperluan perbankan patuh Syariah tanpa perlu mengorbankan kemudahan, produk dan perkhidmatan yang biasa dinikmati sebelum ini.
 
Ketiga, industri juga menerima sokongan kawal selia apabila kerajaan di beberapa pasaran menggalakkan pembangunan ekosistem perbankan Islam yang sihat secara aktif. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kesemua lesen perbankan tempatan baru yang diluluskan sejak 15 tahun lalu adalah bagi penubuhan bank Islam. Oman, Uganda dan Nigeria telah mula membuka pasaran mereka .
 
Penawaran Sukuk, atau bon Islam, berlaku secara meluas dan pembiayaan kewangan Islam digunakan secara giat dalam program sokongan kerajaan. Di Bahrain, misalnya, Standard Chartered Saadiq kini bekerjasama dengan pihak lembaga pekerjaan bebas dipanggil Tamkeen untuk menyediakan pembiayaan patuh Syariah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
 
Malaysia - mungkin pasaran perbankan Islam paling berjaya di dunia - telah menunjukkan apa yang mampu dicapai. Di sini, usaha menyeluruh yang dilakukan kerajaan telah mendorong perkembangan perbankan Islam hingga dapat mewakili satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aset perbankan.
 
Langkah besar seterusnya bagi industri perbankan Islam global adalah merapatkan jurang yang masih ada dengan perbankan konvensional dari segi rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Pengurusan kekayaan Islam, misalnya, jelas masih ketinggalan dengan dana patuh Syariah mewakili kurang 0.25 peratus daripada jumlah keseluruhan aset di bawah pengurusan.
 
Ia ibarat cerita ayam dan telur, yang mana wujud dahulu. Untuk menarik para pelanggan Islam yang kaya, kita perlu memiliki rangkaian produk dan perkhidmatan yang kompetitif tetapi untuk mencapainya, kita perlu mempunyai skala ekonomi.
 
Bagaimanapun , dengan pertumbuhan aset Islam yang kukuh dan penyedia perkhidmatan perbankan Islam meningkatkan tekanannya ke atas para pengurus dana, terdapat peluang yang baik pengurusan kekayaan Islam akan mampu berbuat demikian dalam beberapa tahun akan datang.
 
Berdasarkan pertumbuhan menyeluruh industri kebelakangan ini, perbankan Islam masih mewakili sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan aset perbankan global, dan bilangannya jauh lebih kecil (dianggarkan secara kasar hanya satu daripada setiap lapan pengguna Islam memiliki akaun dengan bank Islam) dibandingkan mereka yang memiliki akaun konvensional.
 
Kadar penembusan juga kekal rendah di negara Islam yang mana rakyatnya mewakili jumlah umat Islam terbesar di dunia, seperti Pakistan dan Indonesia, masing-masing mewakili hanya sembilan dan empat peratus. Terdapat pelbagai alasan kenapa ini berlaku, yang paling ketara ketiadaan kesedaran tentang apa yang mampu ditawarkan oleh perbankan Islam.
 
Di sesetengah negara, wujud halangan kawal selia atau undang-undang. Walaupun setiap pasaran berkembang pada tahap masing-masing, sokongan kerajaan dan pengawal selia akan dapat membantu mempercepatkan kadar perubahan.
 
Pembukaan pasaran kepada bank Islam antarabangsa juga akan dapat membantu. Bank berkenaan selalunya cenderung untuk mempercepatkan pembangunan dalam pasaran individu dengan kemampuan mereka memindahkan amalan terbaik, kecanggihan produk dan kepakaran perbankan di kalangan kedudukan geografi berbeza.
 
Di Standard Chartered misalnya, kami bekerjasama dengan pengawal selia di beberapa negara bagi memajukan rangka kerja perbankan Islam mereka berdasarkan pengalaman kami dalam pasaran lain.
 
Apa yang jelas, menerusi rangkaian sejagat mereka, bank Islam antarabangsa juga berperanan memudahkan kegiatan perbankan merentasi sempadan untuk para pelanggan Islam. Ini penting sekiranya industri mahu menarik lebih ramai pelanggan PKS yang berkembang pesat serta individu kaya yang ingin kekal menggunakan perbankan patuh Syariah tanpa perlu melepaskan peluang pertumbuhan dalam pasaran asing.
 
Tujuan perbankan sama ada Islam atau konvensional, adalah membantu sesiapa saja mencapai aspirasi mereka. Ia berkait dengan hubungan dengan pelanggan dan memenuhi keperluan kewangan sesuai dengan gaya hidup mereka. Sejak beberapa tahun yang lalu, perbankan Islam telah berkembang pesat untuk memenuhi keperluan asas ini.
 
Perbankan Syariah berada di peringkat awal tetapi apa yang jelas: dengan sekitar 1.6 bilion umat Islam di dunia, manfaat perbankan Islam adalah amat besar dan kemampuan sebenarnya masih belum terserlah.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 24 Ogos 2012.