Persediaan 10 tahun sebelum bersara

Tarikh Disiarkan: 
5 May, 2012
Sumber: 
Utusan Malaysia Online

SOALAN: Saya mempunyai pendapatan sederhana dan akan bersara dalam masa 10 tahun lagi. Apakah perkara penting yang perlu saya rancang dari segi kewangan pada dekad terakhir kerjaya saya?

Jawapan:

Masih ada 10 tahun lagi sebelum anda bersara dan tempoh ini amat penting untuk menentukan keselesaan hidup anda selepas bersara kelak. Untuk membantu anda, kami telah menyenaraikan 10 perkara yang patut dilakukan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Merangka bajet selepas bersara

Cuba fikirkan berapakah kos gaya hidup anda selepas bersara. Di mana anda akan tinggal selepas bersara? Adakah anda akan mengembara atau melakukan sesuatu hobi? Sediakan bajet persaraan; sebagai panduan, anda boleh memperuntukkan 75 peratus daripada perbelanjaan bulanan semasa anda.

2. Ramalkan jumlah tabungan persaraan yang anda perlukan.

Apabila anda sudah tahu kos sara hidup anda selepas bersara, anda perlu menentukan jumlah tabungan persaraan (jumlah yang perlu ada dalam simpanan anda apabila anda mula meniti zaman persaraan) yang boleh membiayai gaya hidup anda. Sebagai panduan umum, anda memerlukan 25 kali perbelanjaan tahunan anda selepas bersara. Sebagai contoh, jika anda membelanjakan RM30,000 setahun, anda akan memerlukan tabungan persaraan berjumlah RM750,000.

Mula menabung atau melabur

Apabila anda telah mengira tabungan persaraan yang diperlukan, anda perlu mula menabung atau melabur untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dengan pantas. Sebahagian tabungan persaraan akan diperolehi daripada simpanan KWSP atau sebarang pelaburan yang telah anda kumpulkan. Baki jumlah boleh dikumpulkan dengan menabung atau melabur untuk tempoh 10 tahun akan datang. Cuba kira berapa yang perlu anda tabung. Jika terlalu banyak, anda mungkin perlu mengurangkan angka tabungan persaraan atau perbelanjaan sara hidup selepas anda bersara.

Jangan melihat pulangan sahaja

Jika tabungan persaraan anda jauh lebih kecil, pulangan pelaburan sahaja tidak dapat membantu.Malah, anda boleh menjadikan keadaan lebih teruk jika anda terlalu agresif ingin mendapatkan pulangan pelaburan yang tinggi.Jangan melabur dalam sesuatu instrumen pelaburan yang asing bagi anda. Tiada apa yang boleh diperolehi tanpa menanggung risiko dan hindari skim cepat kaya. Jika ada orang yang mendakwa sebaliknya, anda harus berwaspada.

Mula menyediakan dan mematuhi bajet

Anda akan menghabiskan sekurang-kurangnya 20 - 30 tahun hidup anda tanpa pendapatan. Anda perlu berdisiplin apabila berbelanja.Anda perlu menguruskan amalan perbelanjaan dan belajar untuk hidup mengikut kemampuan supaya apabila anda bersara, anda tidak begitu terkejut dengan keadaan hidup baru anda.

Jelaskan hutang pinjaman perumahan anda

Rumah yang bebas daripada pinjaman boleh menjadi aset penting semasa persaraan anda.Anda telah membebaskan sedikit aliran tunai kerana tidak perlu lagi membayar ansuran pinjaman perumahan anda.

Kurangkan hutang anda

Malah, anda perlu membayar balik apa jua bentuk hutang yang anda ada sekarang dan jangan mengambil lebih banyak hutang, terutamanya hutang yang mengenakan kadar yang tinggi.

Nilai perlindungan takaful anda

Anda perlu mempunyai perlindungan takaful yang mencukupi untuk melindungi pendapatan anda dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini termasuk mendapatkan perlindungan kehilangan upaya atau penyakit kritikal. Jika tiada, pertimbangkan pelan bertempoh yang hanya melindungi anda untuk tempoh 10 tahun akan datang. Polisi perlindungan takaful yang menyeluruh tidak lagi diperlukan bagi pesara yang tidak mempunyai orang di bawah tanggungan.

Tinjau sama ada anda boleh mendapatkan sumber pendapatan selepas bersara

Anda boleh meraih pendapatan dengan menyewakan hartanah atau membuat kerja lain selepas bersara, sebagai contoh menjadi ejen takaful. Anda mungkin perlu mempertimbangkan pilihan ini sebelum anda bersara.

Meramalkan sesuatu yang tidak diduga

Akhir sekali, anda perlu sedar bahawa kehidupan ini penuh berliku. Kadang kala anda mengalami pulangan pelaburan yang tidak seperti dijangkakan selama beberapa tahun atau terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak diduga seperti kos perubatan. Dengan merancang dan mula menabung lebih awal untuk persaraan, anda masih belum terlambat untuk membuat perubahan sekiranya perlu.

Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhabr Utusan Malaysia Online pada 5hb Mei 2012