Potensi besar tanah wakaf

Tarikh Disiarkan: 
20 Oct, 2011
Sumber: 
Harian Metro Online
INSTITUSI dan harta wakaf mempunyai sumber ekonomi terpendam yang perlu dijana dengan perancangan dan pengurusan teliti bagi faedah ekonomi untuk perkembangan dan kemajuan umat Islam.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir berkata, Malaysia mempunyai tanah wakaf yang amat besar dan jika dibangunkan boleh memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi umat Islam.

“Sistem kewangan Islam memberi keyakinan kepada umum dan membuka mata dunia mengenai kelebihan sistem wakaf lebih-lebih lagi tatkala berlaku krisis kewangan yang menjadikan kestabilan sistem ini terbukti mampu menjadikan perbankan Islam bukan sekadar alternatif kepada perbankan konvensional.
 
“Berserta struktur kewangan yang utuh, sistem wakaf mampu menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan Islam dunia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Menara Bank Islam disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di ibu negara semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Abi Musa Ass’ari Mohamed Nor serta Pengerusi Bank Islam, Datuk Sri Zukri Samat.

Menara Bank Islam di Jalan Perak, Kuala Lumpur itu sebelum ini dikenali sebagai Menara Wakaf adalah projek pembangunan tanah wakaf komersial pertama negara dan siap dibina anak syarikat Lembaga Tabung Haji (LTH), TH Properties dengan kos pembinaan mencecah RM151 juta.
 
Jamil berkata, tanah seluas 1.2 hektar itu diwakafkan oleh seorang hartawan India, Ahmad Dawjee Dadabhoy sekitar tahun 1982 dan bangunan setinggi 34 tingkat milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini di jangka memperoleh pulangan RM56.6 juta sepanjang 25 tahun tempoh pajakan kepada Bank Islam.

“Projek perkongsian pintar ini kejayaan keseluruhan umat Islam di negara ini dan memberikan pulangan lumayan apabila disewa,” katanya.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Harian Metro Online pada 20hb Oktober 2011