Tarikh Disiarkan:
19 Jun, 2012
Sumber:
Utusan Malaysia Online
KUALA LUMPUR 18 Jun - Malaysia akan melakukan semakan semula ke atas kaedah penyaringan dalam menentukan status kepatuhan Syariah bagi syarikat-syarikat tersenarai.
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataannya hari ini berkata, pemakaian kaedah penyaringan baru perlu diperkenalkan memandangkan kaedah sekarang telah diguna pakai sejak 1995.
"MPS telah menyemak kaedah penyaringan itu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dua peringkat yang mengguna pakai ukur rujuk aktiviti perniagaan dan ukur rujuk nisbah kewangan yang baru diperkenalkan.
"Hasil daripada kaedah yang disemak semula itu akan dibentangkan dalam Senarai Sekuriti Patuh Syariah oleh MPS SC berkuat kuasa mulai November 2013," kata kenyataan tersebut.
Sebagai tambahan kepada penilaian kuantitatif dua peringkat itu, penilaian kuantitatif yang ada kini akan terus digunapakai, manakala senarai sekuriti patuh Syariah tetap akan dikeluarkan sebanyak dua kali setahun.
"Semakan ke atas kaedah penyaringan itu akan memudahkan lagi pembangunan teratur pasaran ekuiti Islam dan industri pengurusan dana pada peringkat domestik dan antarabangsa, selaras dengan strategi pertumbuhan yang digariskan bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2," kata, Pengarah Eksekutif, Pasaran Modal Islam SC, Zainal Izlan Zainal Abidin.
SC akan mengadakan perbincangan dengan pemegang kepentingan yang berkaitan dan satu set soalan lazim mengenai butiran terperinci dan pengoperasian kaedah semakan semula itu boleh didapati di laman sesawang SC iaitu www.sc.com.my.
Dianggotai oleh sarjana Syariah, juri dan pengamal pasaran yang terkemuka, MPS SC bertanggungjawab menentukan dan mengeluarkan peraturan mengenai penggunaan prinsip-prinsip Syariah dalam perkara- perkara yang berkaitan dengan pasaran modal Islam (ICM).