Sejarah mata wang Islam di Tanah Melayu

Tarikh Disiarkan: 
17 Mar, 2011
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
 
Oleh ROSMAH WATI AHMAD ZAKARIA
 
KEDATANGAN Islam ke Nusantara membawa seribu satu perubahan dan keindahan bersamanya. Walaupun terdapat pelbagai teori mengenai tempat pertama dan bila Islam sampai ke dunia Melayu, yang pasti ia membawa kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Islam di wilayah ini yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu.
 
Salah satu perubahan besar yang boleh dilihat adalah pengeluaran duit oleh kerajaan Islam tempatan.
Kerajaan yang dipelopori oleh Kesultanan Melayu yang beragama Islam sama ada di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu juga mengambil langkah yang sama dengan menempa duit kerajaan sendiri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Islam di kawasan lain.
 
Mata wang penting kerana kedudukan dunia Melayu yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa bagi pedagang asing terutamanya dari Timur Tengah, Gujerat dan China.
 
Logam yang menjadi bahan utama dalam pembuatan duit seperti emas, perak dan timah adalah merupakan sumber asli yang banyak terdapat di dunia Melayu pada waktu itu.
 
Rekaan mata wang yang dihasilkan oleh pemerintah Islam di dunia Melayu mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan mata wang yang dihasilkan di Timur Tengah tetapi mempunyai sedikit persamaan dengan kerajaan Islam yang paling hampir dengan Asia Tenggara iaitu Kerajaan Islam di India.
 
Ciri-ciri mata wang Islam dunia Melayu adalah seperti berikut:
 
Ciri pertama, adalah bahasa yang digunakan di atas duit yang dikeluarkan.
Hampir kesemua mata wang Islam dunia Melayu menggunakan bahasa Arab dan tulisan Arab walaupun dunia Melayu mempunyai bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
 
Ini secara tidak langsung menunjukkan kedudukan bahasa Arab yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika itu.
 
Ciri kedua, adalah gelaran raja. Kebanyakan mata wang Islam dunia Melayu mempamerkan nama gelaran pemerintah Islam dalam bahasa Arab seperti, Al-Adil, Malik Al-Adil, Nasir al-Dunia Wa'l-Din, Al-Sultan Al-Adil dan Khalifah Al-Mukmin.
 
Gelaran-gelaran ini digunakan bagi menggantikan nama raja atau sebagai tambahan kepada nama raja atau ratu yang memerintah yang terdapat di atas duit tersebut ketika itu.
 
Ciri ketiga adalah tahun dan nama tempat ia dikeluarkan. Ciri ini tidak kelihatan bagi mata wang yang dikeluarkan pada abad ke 15 hingga 18 Masihi tetapi mula kelihatan dalam abad ke 19 Masihi.
 
Antara mata wang yang mempunyai tahun dan tempat ia dikeluarkan adalah mata wang dari Kelantan dan Kedah.
 
Daripada segi reka bentuk mata wang pula, dunia Melayu mempunyai bentuk mata wang yang pelbagai dan menarik. Antara bentuk yang sering digunakan adalah bulat dan segi enam.
 
Duit yang berbentuk segi enam pernah dikeluarkan oleh kerajaan Melayu seperti di Kedah dan di Johor. Bagi bentuk bulat pula terdapat dua lagi pecahan rekaan iaitu yang mempunyai lubang di bahagian tengah dan yang disusun dalam bentuk sebatang pokok.
 
Duit berbentuk bulat dan mempunyai lubang di bahagian tengah telah dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan, Patani dan Kedah. Rekaan bentuk ini dikatakan diadaptasi daripada mata wang yang di bawa dari China oleh pedagang China.
 
Bagaimanapun, mata wang yang dihasilkan di China mempunyai lubang berbentuk segi empat di bahagian tengah manakala di dunia Melayu lubangnya berbentuk bulat. Rekaan ini adalah bagi memudahkan duit tersebut diikat bersama menggunakan tali dalam jumlah tertentu.
 
Bagi duit yang disusun dalam bentuk sebatang pokok ia diberi nama pokok duit. Pokok duit diperbuat daripada logam timah dan ia keluarkan oleh kerajaan Kelantan dalam abad ke 18 Masihi. Ia boleh ditempa semula selepas duit berbentuk bulat yang dijadikan 'daun' atau 'buah' telah habis dipatahkan dan digunakan.
 
Pada sebatang pokok duit terdapat lima belas ranting yang mempunyai sehelai daun 'daun' atau sebiji 'buah' pada setiap satunya.
 
Mata wang di Semenanjung Tanah Melayu terus mengalami perubahan dari satu abad ke abad yang seterusnya. Ketika di bawah pengaruh British, mata wang Semenanjung Tanah Melayu mula menggunakan angka rumi dan tulisan jawi.
 
Tulisan jawi masih lagi kelihatan di atas wang kertas yang digunakan pada hari ini tetapi bahasa Arab telah terhenti penggunaannya sejak abad awal abad ke 20 Masihi kerana mata wang dunia Melayu telah mula dikeluarkan secara seragam selari dengan pembentukan negara Malaysia.