Skim Ar Rahnu pemangkin ekonomi masyarakat

Tarikh Disiarkan: 
15 Oct, 2010
Sumber: 
Utusan Online
Oleh RAJMAH HASAN
(Yang mengikuti rombongan YaPEIM ke Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau 2010 di Brunei Darussalam, baru-baru ini)
 
SKIM Ar Rahnu iaitu pajak gadai berlandaskan syariah mempunyai potensi besar dalam menjana ekonomi masyarakat kerana ia beroperasi pada kos dan risiko yang rendah.
 
Buktinya, ramai kalangan usahawan di beberapa negara ASEAN yang menggunakan skim tersebut sebahagian besarnya adalah berpendapatan sederhana, sekali gus mengikis stigma bahawa skim itu hanya dikaitkan dengan golongan miskin.
 
Kajian ke atas 332 usahawan kecil yang menggunakan pembiayaan Skim Ar Rahnu mendapati, bilangan responden paling ramai di Malaysia adalah berpendapatan bulanan antara AS$144.48 hingga AS$288.39 sebanyak 30.4 peratus.
 
Di Indonesia dan Thailand pula majoriti bilangan respondennya adalah berpendapatan AS$144.47 dan ke bawah dengan masing-masing sebanyak 39.9 peratus dan 44.9 peratus.
 
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa latar belakang keluarga responden didapati sedikit sebanyak telah mempengaruhi responden untuk menjalankan perniagaan.
 
Catatan menunjukkan sebanyak 29.2 peratus responden di Malaysia mempunyai ahli keluarga daripada golongan peniaga, Indonesia (35.9 peratus), Brunei (35.3 peratus) dan Thailand sebanyak 48.7 peratus.
 
Majoriti responden terlibat menjalankan perniagaan kerana ia adalah sumber pendapatan dengan Brunei mendahului senarai iaitu 54.0 peratus diikuti Malaysia (47.9 peratus), Thailand (39.7 peratus) dan Indonesia 37.3 peratus.
 
Bidang makanan dan minuman pula merupakan perniagaan pilihan responden iaitu 52.1 peratus di Malaysia, Indonesia (22.6 peratus), Brunei (57.6 peratus) dan Thailand 52.6 peratus, manakala lain-lain perniagaan adalah pakaian, logam untuk perhiasan, pertanian, perabot, pengangkutan, perkhidmatan, pembinaan dan peruncitan.
 
Kebanyakan responden di empat negara itu didapati mengalami masalah yang sama iaitu kekangan kewangan, namun tidak mempunyai tempat untuk membuat pinjaman kewangan.
 
Mereka menghadapi kesulitan untuk memperoleh pinjaman disebabkan beberapa perkara seperti pemasaran, kewangan dan persaingan, selain kesukaran menyediakan cagaran seperti yang dikehendaki oleh kebanyakan institusi kewangan.
 
Selain itu, institusi kewangan juga didapati sukar memberi pinjaman kepada usahawan kecil di keempat-empat negara itu kerana mereka tidak yakin akan kemampuan usahawan kecil untuk membayar semula pinjaman dalam jangka masa yang ditetapkan.
 
Oleh demikian, dengan adanya Skim Ar Rahnu telah dapat mengurang dan menyelesaikan masalah yang membelenggu usahawan-usahawan kecil di negara terbabit.
 
Sementara itu, kajian dari segi kelayakan akademik mendapati tahap pendidikan responden di Malaysia, Brunei dan Thailand adalah di peringkat sederhana sahaja kerana separuh daripada mereka mempunyai tahap pendidikan setakat sekolah menengah. Indonesia sahaja mencatat 51.8 peratus daripada usahawan kecil tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan formal di negara itu.
 
Berdasarkan dapatan kajian juga menunjukkan bahawa usahawan kecil di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand adalah terdiri daripada golongan muda yang masih di peringkat produktif dan bekerja keras untuk mengukuhkan perniagaan yang dijalankan.
 
Mengulas hasil kajian keberkesanan Skim Ar Rahnu dalam memantap dan memperkukuh usahawan kecil di negara ASEAN yang dibentangkan pada Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau 2010 di Brunei Darussalam baru-baru ini, Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Dr. Abd. Malek AWang Kechil yang juga merangkap Setiausaha Agung mesyuarat sekretariat berkenaan berkata: "Skim Ar Rahnu bukan sahaja mampu membasmi kemiskinan dalam masyarakat melalui penyediaan pembiayaan kecil kepada peniaga-peniaga kecil tetapi ia juga menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama, keturunan dan status.
 
"Kebanyakan responden terbabit bertanggapan bahawa Skim Ar Rahnu adalah yang terbaik kerana mengenakan upah simpan yang rendah, mudah dan cepat, mengikut syariat Islam, layanan istimewa kepada pelanggan, pembayaran secara ansuran, nilai pinjaman yang tinggi dan tidak menindas mereka.
 
"Dengan adanya tanggapan yang baik itu serta faedah-faedah yang mereka perolehi tidak mustahil mereka meneruskan penggunaan pembiayaan skim Ar Rahnu untuk menjalankan perniagaan mereka".
 
Kajian lapangan itu diperoleh hasil temu bual usahawan negara anggota Sekretariat Ar Rahnu dilakukan oleh Perum Pegadaian di Indonesia, Bank Islam Brunei Darussalam (BIDB), Koperasi Islam Pattani Berhad di Thailand dan YaPEIM sendiri. Dua lagi negara anggota Sekretariat Ar Rahnu iaitu Kemboja dan Timor Leste tidak terbabit dalam kajian itu.
 
Selain itu, data kajian juga didapati daripada buku, laporan, jurnal, Internet dan sebagainya. Menariknya, data yang diperolehi dari lapangan kajian itu akan dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) bagi mendapatkan graf dan analisis peratusan responden.
 
Sementara itu, dari segi jantina pula, kaum wanita dikatakan paling ramai menggunakan pembiayaan Skim Ar Rahnu iaitu di Malaysia sebanyak 66.7 peratus berbanding lelaki 33.3 peratus, Indonesia (59.7 peratus) serta Brunei (83.5 peratus), dan hanya Thailand menunjukkan peratusan respondennya adalah 50-50 untuk lelaki dan wanita.
 
"Tabiat mengumpul barangan kemas khususnya emas memberi kelebihan kepada kaum wanita untuk mendapatkan pembiayaan AR Rahnu menerusi skim pajak gadai Islam ini," ujarnya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Abd. Malek berkata, secara keseluruhan, pelaksanaan Program Mikro Kredit Ar Rahnu (pegadaian syariah) telah berjaya mencatatkan sebanyak 10.6 juta transaksi di keempat-empat negara sejak Januari hingga Oktober tahun ini dengan melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak AS$2.06 bilion.
 
Pada Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau yang disertai kira-kira 40 wakil dari enam negara anggota sekretariat telah mengeluarkan satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Bandar Seri Begawan yang mengandungi tiga perkara utama.
 
Yang pertama, anggota mesyuarat bersepakat menerima Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai wahana berkesan dan meningkatkan keupayaan komuniti dalam kerangka membangunkan sosio-ekonomi ummah dan memastikan wujudnya komuniti yang lestari.
 
Bagi tujuan itu, usaha untuk memantap dan mengembangkan progam ini akan terus diberi perhatian yang utama pada masa depan.
 
Selain itu juga berasaskan kerjasama yang telah sedia terjalin dalam merealisasikan objektif sekretariat yang digariskan selaras dengan misi membangun kumpulan sasar di rantau ini, maka semua anggota mesyuarat bersetuju sebulat suara menyatakan komitmen bagi mendokong dan memantapkan perjalanan sekretariat.
 
Yang terakhir, berasaskan keperluan yang sangat tinggi bagi menjadikan program Ar Rahnu sebagai satu pendekatan yang berkesan dalam menjayakan misi perniagaan dan sosial, maka usaha untuk melaksanakan pertukaran pengalaman di antara anggota sekretariat dalam memajukan program itu serta meneroka idea-idea baru melalui kajian ilmiah akan terus menjadi pendekatan dan perhatian utama pada masa depan.
 
Pada akhir mesyuarat tersebut juga, anggota sekretariat telah memutuskan untuk memilih Thailand sebagai tuan rumah bagi mengendalikan Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau seterusnya pada 2012.
 
Artikel ini telah dipetik dari web Utusan Online pada 18 Oktober 2010.