SSM serbu tiga syarikat anjur program kutu

Tarikh Disiarkan: 
30 Apr, 2010
Sumber: 
Utusan Malaysia Online - Ekonomi
 
KUALA LUMPUR 29 April - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah membuat serbuan serentak ke atas tiga buah syarikat perniagaan yang dipercayai menganjurkan program skim kutu menggunakan wang pos.
SSM dalam kenyataannya di sini berkata, syarikat-syarikat tersebut ialah Kristal Karisma Enterprise, World Heritage Resources dan Al Falah Global Resources dan disiasat di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
 
"Siasatan dilakukan kerana para penganjur skim kutu tersebut telah melakukannya di bawah akta tersebut yang melarang mana-mana perseorangan, perniagaan atau syarikat daripada menganjurkan program itu,"
 
"Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000," kata SSM di sini hari ini.
 
Menurut SSM, berdasarkan maklumat yang diperoleh pakej-pakej yang ditawarkan oleh penganjur skim itu dengan menawarkan beberapa pakej.
 
Pakej-pakej tersebut ialah Pelan A Platinum (RM312) - sembilan orang penerima, Pelan A Emas (RM100)-lapan orang penerima, Pelan A Perak (RM50) - tujuh orang penerima, Pelan B Platinum Bijak (RM396.50)-13 orang penerima dan Pelan B Emas Bijak (RM136.50) untuk 13 orang penerima.
 
Sehubungan itu orang ramai diminta menghubungi Seksyen Aduan SSM di talian 22995477/5450/5451 sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai skim atau program kutu lain.