Status janji dalam muamalah Islam

Tarikh Disiarkan: 
13 Mar, 2013
Sumber: 
Sinarharian Online
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
 
Minggu ini penulis ingin berkongsi mengenai satu isu yang banyak diperbahaskan dalam kehidupan manusia seharian khususnya dalam aktiviti muamalah ekonomi dan kewangan Islam hari ini.

Hakikatnya, masih ramai di kalangan umat Islam sering kali memandang ringan aspek janji hingga dengan begitu mudah menabur dan memberikan janji yang kadangkala tidak ditepati, malah menyusahkan orang lain.

Janji atau dalam istilah Arabnya wa`ad merupakan satu prinsip penting dalam sistem muamalah Islam.

Malah status janji menempati kedudukan yang tinggi dalam Islam sehinggakan seseorang yang memungkiri janji dianggap munafik dan mengundang malapetaka ALLAH di akhirat kelak.

Dari segi syarak, janji atau wa`ad membawa maksud komitmen seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu pada masa depan.

Di sini wa`ad hanya bersifat sehala dan mengikat orang yang berjanji itu sahaja. Ia berbeza dengan perjanjian berbentuk kontrak atau `aqad yang bersifat dua hala dan mengikat kedua-dua belah pihak yang berakad dan telah menandatangani kontrak perjanjian tersebut.

 
Sebagai contoh, `Ammar berjanji untuk menjual keretanya kepada `Affaf pada harga RM20,000. Janji yang dilakukan `Ammar untuk menjual keretanya ini masih bersifat satu hala dan tidak mengikat `Affaf untuk menerima tawaran tersebut.

Hanya apabila `aqad pembelian (`aqad al-bai`) termeterai barulah ia mengikat kedua-dua belah pihak untuk mematuhi segala syarat jual-beli yang ditetapkan syarak.

 
Perbahasan di kalangan ulama muktabar turut berkisar seputar status wa`ad dari aspek perundangan, sama ada ia boleh dikuatkuasakan sebagaimana kontrak biasa.

Polemik yang sering tercetus adalah berkenaan persoalan apakah tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas seseorang yang mengingkari janjinya.

Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie, Imam Ahmad dan sebahagian ulama dari Mazhab Maliki berpandangan bahawa penunaian janji adalah suatu yang kudus dari perspektif Islam tetapi tidaklah wajib atau boleh dikuatkuasakan melalui perundangan sebagaimana akad kontrak.  

Bagi ulama-ulama seperti Samurah bin Jundub, Umar bin Abdul Aziz, Hassan al-Basri, Said bin al-Ashwa’, Ishaq bin Rahwaih, Imam Bukhari dan sebahagian ulama Maliki pula, menunaikan janji adalah wajib dan orang yang berjanji mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan perundangan untuk mematuhi janji dibuat.

Polemik berkaitan janji ini lebih terserlah dalam realiti muamalah pada zaman moden. Amalan dan penggunaan prinsip janji atau wa`ad sebenarnya semakin meluas dalam operasi urus niaga kewangan dan perbankan Islam masa kini. Hampir semua kontrak yang diguna-pakai dalam perbankan Islam mempunyai elemen janji bagi menjamin kelancaran operasi kewangan dan perbankan.

Sebagai contoh, bank yang menggunakan kontrak jual-beli secara murabahah dalam pembiayaan bagi membeli sesuatu komoditi atau barangan turut mendapatkan surat janji (undertaking letter) daripada pembeli.

Surat janji ini penting bagi memastikan pelanggan yang memohon pembiayaan tersebut membeli barangan yang dihajatinya itu setelah pihak bank mendapatkannya daripada pengeluar.

Persoalannya apakah bank boleh mengambil tindakan mahkamah sekiranya pelanggan ingkar terhadap janjinya untuk membeli barangan tersebut daripada bank.

Menyedari realiti dan kekangan yang dihadapi oleh perbankan Islam inilah maka ulama kontemporari melakukan ijtihad dengan mengeluarkan fatwa baru mengenai status perundangan surat janji atau prinsip wa`ad.

Sebuah resolusi telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Tertinggi di Peringkat OIC (Pertubuhan Negara-Negara Islam) mengenai status janji yang dibuat dalam urus niaga muamalah.

Menurut resolusi tersebut, seseorang yang mungkir janji boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya terbukti bahawa ada pihak yang mengalami kerugian dan kemudaratan.

Walau bagaimanapun pampasan hanya terbatas kepada tahap kerugian sebenar yang dialami oleh pihak menuntut dan tidak termasuk nilai keuntungan yang dinafikan.

Demikianlah sebahagian daripada isu kontemporari yang menyentuh amalan muamalah khususnya berkaitan dengan operasi perbankan dan kewangan Islam.

Ini sekali gus menafikan tanggapan segelintir yang sering menyempitkan ruang-lingkup Islam kepada urusan peribadatan dan ritual semata-mata.

 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar SinarHarian Online pada 13hb Mac 2013.