Bahaya hutang, tapi anda tidak menyedarinya…!

By: Abdul Muhaimin  Mahmood
 
Mutakhir ini kita dapat melihat betapa masyarakat kita sangat ghairah berhutang dalam mendapatkan barang keperluan dan perkara yang mereka hajati.
 
Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan harta dan barangan yang mereka miliki.
 
Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat kerana mahu menampakkan kemewahan dengan mendapatkan semua yang baru, meskipun yang lama masih elok dan barangkali hanya baru dipakai sekali dua sahaja. Istilah biar papa asal bergaya nampaknya makin menular dalam masyarakat dewasa ini.
 
Perasan atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap dalam fenomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap sebagai sihat oleh mereka.
 
Amat pilu dan menyedihkan lagi, yang terlibat dalam fenomena ini juga adalah orang melayu yang Islam merupakan akidah dan pegangan mereka.
 
Hari demi hari keadaan ini makin memilukan apabila aktiviti berhutang telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat dewasa ini.
 
Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama perlu juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.
 
Lebih memilukan lagi terdapat sesetengah orang yang beranggapan hutang merupakan mekanisma, kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
 
Kesannya makin ramai individu yang berkemampuan membuat pembelian dan transaksi secara tunai telah memilih untuk berhutang dalam mendapatkan apa yang mereka iginkan seperti membeli rumah, kereta, perabut dan sebagainya. Alasan mereka, jika perbelian dibuat secara tunai maka mereka akan rugi.
 
Statistik hutang dan muflis
 
Statisti hutang yang dilaporkan melalui dada-dada akhbar dari badan-badan yang berautoriti dalam negara, cukup menunjukkan kita betapa hutang sudah menjadi darah daging yang seakan tidak dapat dipisahkan dari masyarakat dewasa ini.
 
Kesannya banyak telah muflis disebabkan hutang. Suka saya petik beberapa keratan akhbar yang menjelaskan tentang fenomena yang kurang sihat ini:
 
1. …1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit.
 
Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis. Petikan Utusan Online, 21/03/2011 bertajuk “Senarai hutang menanti pada usia muda”.
 
2.  ...Ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan.Pada 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki. Petikan Utusan Online, bertarikh 03/03/2011. 
      
3.    Menurut Pengurus Besar AKPK [Azman Hasim] sejak 2007 hingga 28 Februari lalu, 144,720 individu menanggung hutang di seluruh negara mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan agensi itu termasuk 55,225 orang mengikuti Program Pengurusan Kredit.

Menurutnya, individu paling banyak menghadapi hutang adalah golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun, berkahwin dan gaji tahunan kurang RM24,000.  

Harian Metro:http://www.hmetro.com.my/articles/144720terimakaunselingAKPK/Article.
 
Menurut Datuk Omar Osman Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.
 
Semua ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya budaya berhutang dalam masyarakat dewasa ini, lebih-lebih lagi bagi penjawat awam yang lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dari pelbagai institusi kewangan.
 
Hutang penyumbang bahana dunia dan akhirat
 
Semakin banyak transaksi berteraskan hutang bermakna makin berkembanglah amalan riba, pecah amanah, rasuah, penyeliwengan, penipuan, pemerasan dan ugutan, pembunuhan, makin kurang produktiviti kerja, keruntuhan rumah tangga meningkat dan sebagainya lagi. 
 
Ini kerana penyakit suka berhutang merupakan antara faktor dan penyumbang kepada masalah tersebut.
Tamakkan harta dan cintakan dunia telah melupakan manusia pada akhirat. Kecintaan mereka pada dunia melupakan pada kesan buruk dari perbuatan tersebut.
 
Mereka lupa pada sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).
 
Mereka lupa yang Rasulullah sentiasa mohon dilepaskan dari belenggu hutang.
 
Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).
 
Tidak kurang banyak juga berlaku dewasa ini, individu yang suka berhutang atau meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Mereka ini lupa pada sabda nabi SAW “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83).

 
Budaya suka meminjam juga boleh menyebabkan seseorang individu menjadi muflis diakhirat nanti. Sekiranya mereka tidak dapat melunaskan hutang mereka didunia, mereka akan dituntut membayarnya di akhirat.
 
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ.
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW, bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada  harta benda;" Nabi SAW., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka. 
 
Kesimpulan
 
Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan wasilah untuk bermewah dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.
 
Cintakan dunia, tamak, riya’, takabbur, hasad, suka menunjuk-nunjuk dan tidak bersyukur dengan apa yang ada antara faktor penyumbang kepada tabiat suka berhutang yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan akhirat. Bagi mengatasi sikap suka berhutang, faktor-faktor yang menjurus kepadanya hendaklah  diatasi dan diperangi dengan gigih dan tabah.
 
Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu iaitu:
 
  1. Tamak dan buruk sangka. Maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh  kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
  2. Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
  3. Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
  4. Kagum terhadap diri sendiri ('ujub) lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
  5. Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
  6. Hasad (dengki) lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana `ah) dan redha terhadap kuniaan Allah SWT kepada makhlukNya.
  7. Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapinya dengan ikhlas.
  8. Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pads makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di nisi Allah SWT.
  9. Takabbur (membesar diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawadhu'.
  10. Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia. (Fathi Yakan, Maza yakni i'timai bi al-Islam. Lihat juga: Zulkifli Bin Mohammad al-Bakri, Integriti dalam Islam, Universiti Sains Islam Malaysia:Nilai, 2007, hlm.91-92.