Mentranformasikan Content Management System Portal e-muamalat

 
Port Dickson 15 April – “Salah satu cara orang ramai mengenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan cepat adalah melalui laman web Jakim. Melihatkan bilangan hits yang direkodkan di laman web Jakim, saya rasa laman web kita adalah agak popular dan dikunjungi oleh ramai orang setiap masa. Dengan yang demikian adalah perlu laman web Jakim sentiasa dikemaskinikan baik dari persembahan atau pun maklumat”. Demikian petikan amanat Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah (KP), Jakim, pada 25 April 2011, dalam ucapan dasar bertajuk “HALA TUJU JAKIM DI BAWAH PIMPINAN BARU’’.
 
Menyahut saranan dan hasrat KP tersebut, Seksyen Muamalat (SM), bahagian Perancangan dan Penyelidikan, telah mengadakan Bengkel Penaiktarafan Content Management System Portal e-Muamalat dengan hasrat menjadikan amanat KP suatu satu realiti iaitu web Jakim sentiasa dikemaskinikan baik dari persembahan atau pun maklumat.
 
Bengkel dua hari dan tiga malam ini bertempat di Port Dickson, pada 13-15 April lalu telah disertai oleh Ahmad Najib Habeb, Managing Director, Israk Technology Sdn. Bhd., selaku penceramah dan fasilitator. Turut serta dalam bengkel ini, Pn. Shaema binti Mohd Hamim, Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Ustaz Mohd Noor Sukrie bin Mohd Ridzuan dari Darul Quran Jakim, dan AJK Pemantau Portal e-Muamalat merangkap urus setia bengkel.
 
Bengkel telah dipengerusikan sepenuhnya oleh Ketua Penolong Pengarah SM, Ustaz Munir bin Haji Md. Salleh dan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Tuan Haji Mohamad bin Saari.
 
Melalui bengkel ini para peserta dapat berbincang secara langsung dan fokus dalam mengenalpasti kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam portal selain melaksanakan cadangan dan pandangan daripada AJK Pemantau portal.
 
Hasilnya sebahagian besar penambahbaikan ke atas kandungan portal dapat dibuat secara langsung oleh Ahmad Najib Habeb selaku seorang yang pakar dalam bidang teknologi maklumat selain bertanggungjawab dalam membangunkan portal e-muamalat.
 
Selain dari membincangkan penaiktarafan CMS Portal e-Muamalat, bengkel tiga hari ini turut mengambil peluang berbincang bagi mengemaskini Term of Reference (TOR) Jawatankuasa Pemantau Portal e-Muamalat, borang soal selidik Kajian Tahap Penerimaan Masyarakat Terhadap Sistem Perbankan Islam di Sarawak sempena Seminar Kewangan Islam kepada Pegawai Kerajaan di Kuching, Sarawak dan juga istilah-istilah muamalat bagi dimuatkan dalam ruangan Glosari Muamalat.
 
 
 
Tuan Hj. Mohamad bin Saari memberikan ucapan perasmian
 
 
Tuan Hj.Munir (kanan) menyampai cederamata kepada En.Najib