Promosi Kewangan Islam Bergema di Kota Kinabalu, Sabah

Pada 30hb November 2010, satu Seminar Kewangan Islam Kepada Pegawai-pegawai Kerajaan Peringkat Negeri Sabah telah diadakan dengan jayanya di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Program ini telah dianjurkan oleh JAKIM, Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Akademi Penyelidikan Syariah Dalam Kewangan Islam Antarabangsa (ISRA) dengan kerjasama JAKIM Cawangan Sabah. Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Hj. Taufik bin Datuk Seri Panglima Hj Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah mewakili Datuk Sri Hj. Nasir bin Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah.
 
Seminar satu hari ini telah membahaskan tiga tajuk utama dalam kewangan Islam. Antaranya ialah Falsafah dan Prinsip Kewangan Islam, Perbezaan Produk Perbankan Islam dan Konvensional: Satu Analisis Kritikal dan Takaful: Perlindungan Secara Islam. Tajuk-tajuk ini disampaikan oleh penceramah terkenal yang dijemput dari institusi-institusi Kewangan Islam Malaysia iaitu al-Fadhil Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi, Ketua Jabatan Syariah dari Bank Muamalat Malaysia Berhad dan al-Fadhil Ustaz Wan Jemizan bin Wan Deraman, Ketua Jabatan Pematuhan Syariah dari Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Para penceramah turut menjelaskan isu-isu terkini dalam kewangan Islam di Malaysia seperti isu mengapakah perbankan Islam mahal dan zalim, isu perbezaan antara perbankan Islam dengan konvensional dan pelaksanaan sistem takaful di Malaysia.
 
Seminar ini telah disertai oleh kakitangan agensi-agensi kerajaan di negeri Sabah seramai 420 orang dari sekitar daerah Kota Kinabalu. Sepanjang seminar ini, para peserta didedahkan mengenai konsep asas dalam Perbankan Islam dan sistem Takaful yang diamalkan di Malaysia.
 
Para peserta telah memberi reaksi positif sepanjang seminar ini. Peserta turut mengambil peluang berdiskusi dengan penceramah bertanyakan beberapa soalan berkaitan sistem kewangan Islam. Beberapa institusi kewangan Islam swasta turut mengambil peluang mengadakan promosi produk-produk perbankan Islam dan Takaful di pintu masuk utama dewan. Wakil-wakil kerajaan negeri Sabah menyatakan ucapan penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian mengadakan seminar ini yang julung-julung kali diadakan di Sabah. Turut diharapkan agar program yang sama diadakan di daerah-daerah pedalaman Sabah kerana di sana masih terdapat masyarakat khususnya di kalangan umat Islam yang masih tidak memahami konsep sebenar perbankan Islam.
 
.
 
Ucapan perasmian oleh YB. Datuk Hj. Taufik bin Datuk Seri Panglima Hj Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah.
 
 
Ucapan alu-aluan oleh YBhg. Ustaz Norjeli bin Hj. Dais, Pengetua, Pusat Latihan Dakwah Keningau mewakili Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan barisan urusetia seminar.
 
 
Al-Fadhil Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi sedang menyampaikan ceramah beliau mengenai perbezaan perbankan Islam dan perbankan Konvensional.
 
 
Al-Fadhil Ustaz Wan Jemizan bin Wan Deraman menyampaikan ceramah beliau mengenai konsep Takaful dalam Islam.
 
 
Para peserta tekun dalam menghayati apa yang disampaikan para penceramah.
 
 
Ketibaan Dif-dif kehormat disambut oleh wakil-wakil JAKIM dan AIBIM.
 
 
 Kaunter pendaftaran program dikerumuni oleh para peserta di kalangan pegawai-pegawai kerajaan