Rakyat Kelantan Menolak Sistem Riba Dalam Kewangan

Buat julung-julung kalinya Seminar Kewangan Islam Kepada Pegawai-pegawai Kerajaan Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan dengan jayanya di Dewan A & B, Kompleks Balai Islam, Lundang Kota Bharu, pada 26hb Mei 2011.
 
Program ini telah dianjurkan oleh JAKIM, Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Negeri Kelantan. Seminar ini diadakan bersempena dengan Karnival Halal 2011 Peringkat Negeri Kelantan.
 
Seminar satu hari ini telah membahaskan dua (2) tajuk yang berkaitan dengan kewangan Islam. Tajuk pertama ialah “Falsafah dan Prinsip Kewangan Islam” manakala tajuk yang kedua mengenai aspek “Perbezaan Produk Perbankan Islam dan Konvensional: Satu Analisis Kritikal”.Tajuk-tajuk ini disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi, Ketua Jabatan Syariah dari Bank Muamalat Malaysia Berhad.
 
Seminar ini telah disertai oleh kakitangan agensi-agensi kerajaan di negeri Kelantan seramai 350 orang. Sepanjang seminar ini, para peserta didedahkan mengenai konsep asas dalam sistem Kewangan Islam yang diamalkan di Malaysia.
 
Sepanjang seminar berlangsung, para peserta telah memberi komitmen yang amat baik di mana majoriti para peserta tidak berganjak sehingga ke akhir sesi seminar ini.
 
Wakil-wakil kerajaan negeri Kelantan menyatakan ucapan penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian mengadakan seminar ini yang julung-julung kali diadakan di negeri Kelantan ini. Turut diharapkan agar program yang sama diadakan sekali lagi dengan melibatkan penyertaan lebih ramai lagi di kalangan pegawai kerajaan.
 
Sila klik di sini untuk mendapatkan kertas kerja seminar tersebut.