Glosari Muamalat

Berikut adalah senarai glosari yang berguna. Anda boleh tapis glosari berdasarkan abjad dibawah :

A | B | C | D | F | G | H | I | J | K | L | M | N | O | P | Q | R | S | T | U | W
Qabd

Penerimaan terhadap sesuatu subjek dalam ‘aqd. Ia boleh dilakukan dengan cara zahir seperti membuat pengambilan barang selepas jual beli, atau secara tidak zahir seperti pengiktirafan bahawa akibat sesuatu tindakan tertentu, menunjukkan qabd telah berlaku dengan sempurna. Secara amnya, qabd bergantung kepada ‘urf tentang cara bagaimana sesuatu penguasaan dan pemilikan telah sempurna berlaku.

Qabul

Penyataan persetujuan oleh pihak kedua yang menunjukkan dia redha terhadap sesuatu kontrak. Contohnya dalam jual beli pembeli berkata “saya beli”. Selain itu, qabul juga boleh dilakukan dalam bentuk lain, seperti pembayaran wang, penerimaan produk, bertulis atau secara isyarat.

Qard

Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walau bagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

Qimah Haqiqiyyah

Nilai saham sebenar yang dimiliki daripada harta bersih syarikat setelah ditolak hutang. Apabila syarikat mendapat keuntungan dan mempunyai rizab modal, maka nilai saham yang sebenar akan naik menjadi lebih tinggi daripada nilai catatan.

Qimah Isdar

Nilai wang yang lebih rendah daripada nilai saham yang tercatat pada sijil saham. Contohnya nilai wang yang tercatat pada sijil ialah RM5, tetapi syarikat menerbitkannya supaya dibeli oleh pelabur hanya dengan nilai RM4 sahaja. Saham ini dilarang oleh syarak kerana pembahagian keuntungan dibahagikan sama rata sedangkan nilai biasa.

Qimah Ismiyyah

Nilai wang yang tercatat pada sijil saham. Nilai ini merupakan kadar pemilikan sebenar pelabur dalam modal syarikat. Contohnya nilai tara sesaham ialah RM1. Sekiranya pelabur membeli saham pada nilai tara berjumlah RM100,000 maka nilai wang yang tercatat pada kertas sijil ialah RM100,000 mewakili 100,000 unit saham.

Qimah Suqiyyah

Nilai saham yang diurusniagakan di Bursa Saham. Qimah Suquiyyah berubah-ubah mengikut kejayaan operasi dalam syarikat peningkatan aset syarikat, rizab modal, permintaan dan penawaran, spekulasi, suasana politik dan ekonomi semasa.

Qimar

Lihat Judi.

Qiyas

Penetapan hukum yang dibuat dengan membandingkan keadaan sesuatu hal dengan hukum dasar yang terdapat dalam Quran dan hadith atau menyamakan hukum asal yang ada nas dengan perkara baru yang tiada nas tetapi mempunyai ‘illah yang sama. Qias merupakan asas kepada ijtihad. Ia dianggap sebagai sumber perundangan yang banyak memberi sumbangan dalam menyelesaikan isu-isu baru yang belum dibahaskan.