Multaqa’ Imam, Guru Takmir dan Jawatankuasa Masjid Kariah Negeri Johor 2014

Tanggal 9 Februari 2014 Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Johor telah mengadakan Multaqa’ Imam, Guru Takmir dan Jawatankuasa Masjid Kariah Negeri Johor bertempat di Dewan Serbaguna, Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang Johor. Program ini telah dihadiri oleh 700 orang peserta yang terdiri daripada imam, guru takmir dan jawatankuasa masjid seluruh negeri Johor.
 
Multaqa ini dimulakan dengan 2 pembentangan kertas kerja iaitu oleh Ustaz Nik Ismail bin Jusoh, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM bertajuk ‘Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah; Satu Perbandingan Jelas’. Manakala pembentangan kedua oleh Ustaz Suhaimi bin Rebu, Jabatan Mufti Johor bertajuk ‘Wassatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.
 
Majlis perasmian multaqa dimulakan dengan ucapan aluan oleh Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya, YB Menteri menasihatkan kepada para peserta supaya menyampaikan kepada masyarakat pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh. Umat Islam kita harus berusaha memahami ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama  bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai  cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung  di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW.
 
Seterusnya ucapan perasmian dan amanat oleh Y.B Dato’ Hj Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor. Y.B Menteri Besar Johor dalam ucapan perasmiannya menyeru kepada para imam, guru-guru takmir dan jawatankuasa masjid agar bersama-sama berganding bahu membangunkan modal insan.  Aspek integriti dan amanah juga ditekankan kerana ia adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Ia bukan satu kebanggaan atau untuk kita dihormati oleh masyarakat terhadap jawatan yang dipegang.
 
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah, Dato' Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Y.B. Tuan Haji Abd. Mutalip Bin Abd. Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato’ Haji M. Tahrir bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor, YBhg. Dato’ Seri As-Sheikh Hj. Nooh bin Gadot, Penasihat Agama Majlis Agama Islam Negeri Johor, Y.B. Dato’ Haji Abd. Razak bin Hassan, Pengarah Jabatan Agama Johor, Datuk Dr Arshad Bin Kassim, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Puan Hajjah Ramlah binti Yong, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM dan ketua-ketua agensi kerajaan di Negeri Johor. 
Dato' Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim yang mewakili Dato’ Ketua Pengarah JAKIM telah menyampaikan replika cek peruntukkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Johor bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru takmir, guru KAFA dan PPMD sebanyak RM45,519,680.00 dalam majlis tersebut.
 
 
        
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tarikh: 
Feb 11, 2014