Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-100

 
Bertempat di Sunway Putra Kuala Lumpur baru-baru ini, Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah mengadakan Muzakarahnya bagi kali ke-100 bermula pada 4 hingga 6 Julai 2012. Muzakarah yang merupakan kali ke empat bagi tahun 2012 ini telah dipengerusikan oleh Y. Bhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd. Shukor bin Hj. Husin dan telah dihadiri oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri-negeri dan  Ahli-ahli Dilantik Majlis Raja-Raja. Turut hadir pada muzakarah ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Pengarah Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan JAKIM dan wakil Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM.
 
Antara isu penting yang telah dibincangkan pada Muzakarah kali ini ialah Hukum Bahan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan, Hukum Jual Beli dan Pelaburan Emas yang dijalankan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak danHukum Pembinaan Pusara Negara. Wakil daripada Bank Negara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Putrajaya telah dijemput untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu yang dibentangkan. Panel Syariah Dan Aqidah ESQ Leadership Training juga telah dijemput untuk melaporkan kedudukan dan perkembangan terkini aktiviti yang dilaksanakan oleh ESQ Leadership Training sejajar dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah pada 16 Jun 2010 bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah dan Aqidah yang dilantik oleh ESQ.
 

Muzakarah kali ke-100 ini berakhir dengan harapan mudah-mudahan semua keputusan yang telah dicapai di dalam Muzakarah ini akan diberkati oleh Allah SWT  dan dapat menjadi panduan dan dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak.