Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dan Pendakwa Syarie (PS) seluruh Malaysia bukan sahaja berhadapan dengan pelbagai ancaman keselamatan yang berisiko kepada fizikal semasa menjalankan tugas. Malah dalam masa yang sama, aspek kerohanian dan mental perlu dibenteng dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan memohon doa agar sentiasa dilindungi Allah dalam menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Berkait dengan perkara tersebut, JAKIM melalui Bahagian Penyelarasan Undang-Undang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa'), Bandar Baru Bangi, Selangor dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengukir satu lagi sejarah dengan penganjuran Kursus Ruqyah Syariyyah khusus kepada PPA dan PS negeri-negeri. Objektif utamanya adalah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada semua peserta mengenai teknik dan kaedah pengubatan Islam yang sebenar secara talaqi dan bersanad. Peserta-peserta bukan sahaja diajar cara merawat penyakit rohani seperti gangguan makhluk halus, sihir dan seumpamanya dengan bacaan ayat-ayat Al Quran dan doa-doa yang perlu dihafal dan diamalkan tetapi juga cara merawat penyakit fizikal seperti sakit mata, sakit kepala dan sebagainya. Melalui kursus ini para peserta bukan sahaja dapat mempertahankan diri daripada gangguan makhluk halus atau sihir tetapi dapat mengetahui cara dan kaedah pengubatan Islam yang betul menepati kehendak syariat supaya tiada unsur-unsur kurafat dan syirik sehingga boleh memesongkan aqidah atau mempunyai agenda atau niat yang tidak baik seperti contoh bagi mendapat keuntungan.

Bagi penganugerahan ijazah dan sijil sebagai perawat di bawah Darussyifa', para peserta mestilah menamatkan 4 siri Kursus Ruqyah Syariyyah yang telah dirangka antara JAKIM dan pihak Darussyifa' selain dapat menghafal kesemua ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa tertentu dan melepasi ujian praktikal berhadapan pesakit sebenar. Siri 1 Kursus Ruqyah Syariyyah telah berjaya dilaksanakan pada 24 hingga 26 Mei 2016 bertempat di ILIM, Bangi dengan kehadiran peserta seramai 30 orang daripada PPA dan PS seluruh Malaysia. InsyaAllah Siri 2 Kursus Ruqyah Syariyyah akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai yang akan datang manakala Siri 3 dan Siri 4 Kursus Ruqyah Syariyyah akan dijalankan pada awal tahun hadapan.

Diharapkan dengan adanya Kursus Ruqyah Syariyyah khusus untuk PPA dan PS seluruh Malaysia ini dapat meningkatkan lagi kredibiliti dan profesionalisme PPA dan PS. Dalam masa yang sama bidang penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah dapat berjalan dengan licin dan teratur. PPA dan PS juga lebih berani dan bersemangat dalam menjalankan tugas kerana yakin ilmu yang dipelajari mampu membenteng diri dari ancaman jasmani mahupun rohani dengan izin Allah SWT.

rukyah1 1

 Para Peserta bergambar bersama YBhg. Ustaz Abdul Rahman bin Nawas,

salah seorang penceramah kursus merangkap Setiausaha Agung Darussyifa'

 

rukyah1 2

 Para peserta tekun mendengar ceramah 

 

rukyah1 3

 Antara peserta yang hadir

 

rukyah1 4

 Slot Tuan Haji Abdul Rahman bin Nawas

 

rukyah1 5

 Ustaz Shaharuddin bin Saad menyampaikan kuliah berkaitan amalan-amalan pendinding diri, keluarga dan harta

rukyah1 6

 Ustaz Imran bin Kamal Basha memberikan penerangan mengenai ayat-ayat hafalan Ruqyah Asas Pertama dan kegunaannya

rukyah1 7

 Ustaz Mohd Apandi bin Hussian berdiskusi bersama peserta mengenai bahan-bahan dalam pengubatan Islam

rukyah1 8

 Ustaz Redza bin Ahmad menyampaikan kuliah mengenai rawatan penyakit jasmani

rukyah1 9

 YBhg. Tuan Haji Ab. Rashid bin Haji Ahmad menjawab pertanyaan daripada peserta

rukyah1 10

 YBhg. Tuan Aziz bin Haji Mohamad, Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-Undang JAKIM

menyampaikan ucapan di akhir kursus Siri 1

rukyah1 11

 

Jurufoto : Encik Zuhairi bin Johari