Kurator Berita : Bahagian Pengurusan Halal
Halal Walkabout & Treasure Hunt 2016 adalah merupakan sebahagian daripada program kesedaran halal yang telah dilaksanakan dengan jayanya pada 23 April 2016 bertempat di Pasaraya Tesco, Kota Baharu, Kelantan. Penganjuran program ini telah mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan rakan strategik iaitu Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad serta Tesco Stores (MALAYSIA) Sdn. Bhd.
 
Program bermula dengan sesi ‘Walkabout Halal’ yang disampaikan oleh pemangku Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Dr. Sirajuddin bin Suhaimee yang menyentuh isu semasa halal, viral dan kempen pengguna yang bijak iaitu amalan 3 ‘S’ (SEMAK SEBELUM SEBAR). Manakala En. Mohd Khahar bin Mohtar mewakili pihak industri dalam menyampaikan informasi mengenai kepentingan produk halal kepada industri dan pengguna. Program diteruskan dengan ‘Halal Treasure Hunt’ di mana kesemua peserta yang terdiri daripada guru-guru pendidikan agama di seluruh Kelantan dikehendaki menyelesaikan 13 soalan yang diberi dalam masa yang ditetapkan. Antara tugasan yang perlu diselesaikan oleh peserta adalah mencari produk yang mempunyai ‘kod E’ berlogo halal, logo halal Badan pensijilan Halal Luar Negara Yang Diiktiraf serta menyelesaikan teka silang kata.
 
Melalui program seumpama ini, peluang untuk mendekati golongan pendidik dapat diteruskan dalam menyampaikan maklumat dan isu halal. Malah dengan kaedah ini, penyampaian ilmu tersebut akan diteruskan kepada anak didik dalam melahirkan generasi yang prihatin dan berkualiti. Semoga pelaksanaan program ini juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penggunaan produk-produk yang telah disahkan halal di pasaran dan menjelaskan nilai berita yang benar sebelum disebarkan.
 
Program ini telah berakhir pada jam 1.30 petang dengan acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Pemenang tempat pertama telah berjaya membawa pulang baucar membeli belah bernilai RM1000 sumbangan Pasaraya Tesco dan hamper barangan Yeo’s, manakala tempat kedua memenangi baucar membeli belah sebanyak RM700 dan hamper barangan Yeo’s dan tempat ketiga telah berjaya memenangi baucar membeli belah sebanyak RM 500 serta hamper barangan Yeo’s. Manakala kumpulan yang menduduki tempat ke empat hingga ke tujuh turut membawa pulang baucar membeli belah bernilai RM200.
 
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ucapan penghargaan terima kasih turut diberikan kepada semua pihak yang berusaha bertungkus-lumus dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan. Semoga ukhwah yang terjalin ini berkekalan dalam meneruskan  misi kesedaran halal kepada semua.
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 1
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 2
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 3
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 4
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 5
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 6
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 7
 
Halal Walkabout Treasure Hunt 2016 8