PAKAR ISLAM PERLU TEROKA VAKSIN HALAL, Pesakit tiada pilihan selain menerima ubat diberi doktor tanpa tahu status. Mohamad Nordin Ibrahim (Panel Penulis JAKIM), Berita Harian, 8 september 2006.

Berdasarkan Kamus Dewan, vaksin merupakan sediaan bakteria, virus yang sudah mati atau dilemahkan untuk disuntik atau ditanam ke dalam badan supaya menghasilkan daya tahan terhadap penyakit tertentu.
Penggunaan vaksin dalam dunia perubatan moden sangat meluas bagi mencegah atau bahan pelalian kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi umat Islam, mendapatkan vaksin dan ubat-ubatan yang halal dan suci adalah suatu tanggungjawab, kecuali dalam keadaan darurat.
 
Pada masa ini terdapat lebih 1.3 billion umat Islam di seluruh dunia terpaksa bergantung kepada vaksin dan produk-produk farmaseutikal yang tidak diketahui status halalnya. Rangkaian industri farmaseutikal utama dunia dikuasai oleh syarikat-syarikat daripada Barat. Pakar-pakar dan pengkaji dalam bidang ini juga dikuasai oleh mereka sedangkan Negara Islam hanya menjadi negara pengguna.
 
Saranan Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dalam majlis pecah tanah pembinaan Pusat Penyelidikan produk Asli, Vaksin dan Biologikal (9-Bio) di Tachpark Bandar Enstek, Labu Negeri Sembilan baru-baru ini supaya syarikat farmaseutikal antarabangsa menjalin usaha sama dengan Malaysia bagi membangun vaksin halal untuk memenuhi keperluan pasaran dunia sangatlah dialu-alukan.
Menerusi penglibatan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa yang telah pun berpengalaman luas dalam bidang ini, <?xml:namespace prefix = st1 ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />Malaysia boleh mendapat pelbagai manfaat dari segi teknologi dan hasil-hasil penyelidikan yang dilakukan. Kita patut mengucapkan syabas kepada semua pihak atas idea dan usaha-usaha ini yang sangat bertepatan dengan Pendekatan Islam Hadhari yang ingin sesuatu inovasi serta meneroka penemuan-penemuan baru untuk kesejahteraan hidup masyarakat.
 
Jika usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sudah pasti ramai umat Islam merasa lega. Di samping itu pasaran produk halal bagi barangan tersebut tentunya sangat luas meliputi Negara-negara Islam dan negara-negara lain.
 
Berdasarkan ramainya jumlah pelanggan yang mendapat perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital-hospital menunjukkan bahawa tahap keyakinan masyarakat terhadap perubatan moden termasuk penggunaan bahan-bahan farmasi atau vaksin ketika ini sangat tinggi.
 
Mereka merasa begitu yakin untuk menggunakan kaedah perubatan moden kerana tindak balas ubat-ubatan ternyata cepat dan berkesan. Namun keraguan masyarakat Islam terhadap kesucian vaksin dan ubat-ubatan yang digunakan tetap ada.
 
Pada masa ini semua pesakit tiada pilihan melainkan menerima apa saja ubat yang diberikan oleh doktor tanpa bertanya status halal atau tidak ubat yang mereka terima. Dalam konteks ini Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sendiri telah mengharuskan penggunaan vaksin tertentu dari sumber yang tidak halal, semata-mata atas dasar darurat bagi mengelak kemudaratan atau sakit yang lebih memudaratkan.
Persoalannya, sampai bilakah umat Islam perlu meletakkan dirinya dalam keadaan ‘darurat’ seumpama ini sedangkan dalam masa yang sama di kalangan masyarakat Islam sendiri telah ada individu yang pakar dalam bidang perubatan, farmasi dan sebagainya.
 
Oleh itu adalah menjadi tugas para ilmuan, tokoh-tokoh agama, pakar-pakar perubatan, ahli-ahli farmasi tampil bagi menyahut cabaran ini. Mereka perlu mengadakan perancangan dan penyelidikan yang lebih serius bagi menerokai bidang pengeluaran vaksin halal sebagai suatu jihad yang perlu diberi keutamaan.
Justeru, kesediaan Malaysia mempelawa penglibatan syarikat-syarikat farmasi terkenal dunia melabur produk farmaseutikal halal di Malaysia sangat tepat sebagai suatu pendekatan yang lebih realistik berdasarkan situasi semasa.
Ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa kelebihan Malaysia kenapa ia perlu melaksanakan misi bagi membangun vaksin halal. Antaranya ialah ;
· Malaysia merupakan sebuah Negara Islam yang sedang membangun dalam pelbagai bidang teknologi. Masyarakat Islam di seluruh dunia menaruh kepercayaan dan harapan tinggi kepada keupayaan Malaysia menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan yang melanda umat.
· Pada masa ini dunia mengiktiraf peranan Malaysia sebagai hub halal antarabangsa yang unggul. Pengesahan halal Malaysia mempunyai standard yang tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Lebih-lebih lagi keupayaan Malaysia menyediakan standard halal yang sistematik dan komprehensif berdasarkan MS 1500 : 2004 (Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan).
 
· Kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Persidangan Pertubuhan Negara Negara Islam (OIC) pada masa ini telah memberikan kredit dan pengaruh tidak secara langsung dengan kemajuan dalam bidang pembangunan Islam.
 
· Malaysia sedang melaksanakan Pendekatan Islam Hadhari yang mengandungi 10 prinsip untuk dibangunkan, termasuk dari aspek sains dan teknologi, ekonomi dan kualiti hidup. Oleh itu usaha bagi mengeluarkan produk farmasi halal merupakan suatu inovasi Islam hadhari yang sangat tepat dengan pendekatan ini bagi menafaat manusia secara global.
 
· Malaysia mempunyai sumber bahan mentah dan prasarana yang baik untuk mambangun industri ini. Penggunaan jenama dan label “Made in Malaysia” bagi produk-produk farmasi yang di kilang di Negara ini sangat strategik dan mampu meningkatkan pasaran terhadap Negara-negara Islam yang sebahagian besarnya terletak di Asia.
 
Kita berkeyakinan bahawa Negara Islam seperti Malaysia mampu mempelopori usaha ini bagi menyahut keperluan fardu kifayah, setelah sekian lama umat Islam terbelenggu dengan teknologi farmaseutikal moden yang dirumus dari sumber bahan yang tidak pasti status halalnya.
 
Umat Islam perlu menyahut cabaran ini serta mencontohi tokoh-tokoh keilmuan Islam tersohor di abad-abad pertengahan Islam seperti Ibnu Sina, Al-Zahrawi, Al-Razi dan Ibnu Nafis yang pernah menerokai usaha-usaha dalam bidang perubatan.
 
Pemimpin, usahawan dan pakar-pakar ilmuwan Islam perlu bergabung tenaga bagi menjayakan usaha ini. Mereka perlu menggali semula kejayaan para saintis Islam masa lalu serta memanfaatkan teknologi semasa untuk merumus formula-formula baru yang lebih inovatif bagi menghasilkan vaksin yang boleh digunakan tanpa was-was. Selain vaksin, usaha juga boleh dilakukan bagi memastikan semua produk kesihatan dan pemakanan tambahan yang dijual di kedai-kedai farmasi adalah halal kerana produk tersebut digunakan secara meluas oleh masyarakat.
 
Penubuhan Pusat Penyelidikan Bio9 di Malaysia yang menyediakan kemudahan teknolgi penyelidikan, diagnosis dan vaksin terkini diharap akan menjadi asas kepada pertumbuhan industri perubatan berkonsepkan halal di rantau ini khasnya dan dunia amnya.