Pameran Sempena Bulan Akademik Maktab Sabah
Kota Kinabalu – Jakim Cawangan Sabah melalui Unit Penerbitan dan Perhubungan Awam telah menyertai Pameran sempena Bulan Akademik anjuran Maktab Sabah Kota Kinabalu pada 27 Jun 2012 yang lepas. Hampir 600 orang yang majoritinya adalah pelajar dan guru telah berkunjung ke lokasi pameran iaitu di dewan besar maktab yang ditubuhkan pada 16 Januari 1957 itu. Pelbagai gerai pameran lain turut memeriahkan pameran berkenaan termasuklah Unit Kaunseling, Unit Pendidikan Islam, Persatuan Bahasa Kadazan-Dusun, Persatuan Reka Cipta, Persatuan Sains Kemanusiaan dan Perubatan, Persatuan Seni Lukisan dan lain-lain lagi.
Objektif pameran ini diadakan adalah untuk memberi input terutamanya kepada para pelajar tentang kepentingan menuntut ilmu melalui bacaan, bersikap kreatif dan ingin tahu serta bimbingan untuk ke institusi pengajian tinggi.
Gerai pameran Jakim Cawangan Sabah telah mempamerkan koleksi buku terbaru terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Ensiklopedia ulama’ (14 jilid), Fiqh al-Manhaji (5 jilid), Syarah Akidah Tahawiyyah (2 jilid), Mukaddimah Mustika Hadis Jilid 1 Edisi Rumi dan sebagainya. Para petugas pameran jabatan ini yang diketuai oleh Ustaz Mohd Fadhli bin Mohd Yusof, Penolong Pengarah Jakim Cawangan Sabah juga telah mengedarkan brosur pelbagai tajuk kepada hadirin yang hadir, antaranya brosur ‘Jom Solat', ‘Jom Mengaji Al-Quran’ dan ‘Prophet Muhammad S.A.W: Who is this man? Lets get to know him’. Selain itu, gerai Jakim Sabah juga telah melayan dan menjawab segala pertanyaan mengenai aktiviti dan operasi yang dijalankan oleh jabatan ini.
Ketika pameran sedang berlangsung, para hadirin yang hadir turut ditayangkan dengan video Rahsia Kejayaan Nur Amalina, pelajar pintar yang mendapat 17A pada peperiksaan SPM tahun 2004. Pameran berkenaan telah tamat pada jam 2.00 petang.

Petugas Pameran Jakim Cawangan Sabah

Pergerakan para pelajar di tapak pameran diurus selia oleh seorang guru disiplin Maktab Sabah

Antara gerai pameran yang terlibat

Gerai Persatuan Bahasa Kadazan-Dusun

Antara bahan yang terdapat di gerai Unit Kaunseling Maktab Sabah

'Alat Mengkemekkan Tin' yang dipamerkan oleh Persatuan Reka Cipta

Para pelajar menurunkan tandatangan simbolik kepada keazaman untuk melangkah universiti

Seorang pengunjung sedang mendapat penerangan di gerai Jakim Cawangan Sabah
Groups:
- Hits : 1032







