Panel Pemikir Fatwa Bincang Isu Kontemporari

 
Panel Pemikir Fatwa yang bersidang pada 13 Ogos 2012  telah membincangkan beberapa isu kontemporari dalam pelbagai bidang bagi menentukan keperluannya dari aspek kajian untuk penentuan hukum dan fatwa. Panel yang ditubuhkan pada 1 Mac 2012 ini adalah merupakan cetusan idea daripada YAB Perdana Menteri semasa pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya satu kumpulan pemikir dalam pelbagai bidang dapat diwujudkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi mengenalpasti dan meneliti isu-isu kontemporari yang memerlukan penentuan hukum hakam .
 
Panel ini dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd. Shukor bin Hj. Husin dan terdiri daripada tujuh (7) orang ahli pakar dalam bidang-bidang seperti syariah, sains dan perubatan, muamalat dan kewangan Islam, industri halal dan  perundangan. Panel ini telah bermesyuarat sebanyak 2 kali sejak penubuhannya dan mesyuarat kali ini telah membincangkan empat (4) isu dalam bidang sains dan perubatan dan dua (2) isu dalam bidang muamalat. Kajian terperinci akan dibuat oleh pakar-pakar dan hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk penentuan hukum. Adalah diharapkan melalui penubuhan Panel Pemikir Fatwa ini khidmat pakar-pakar dalam pelbagai bidang profesional dapat digembeling sepenuhnya bagi menyelesaikan isu-isu yang melibatkan hukum hakam di negara ini.
 
 
    
 
 
 
 
    
Tarikh: 
Aug 14, 2012