Pegawai Mesti “Berfikir Di Luar Kotak“

 
“Pegawai mesti berfikir di luar kotak dan mesti bersungguh dalam melaksanakan tugas” itulah antara petikan syarahan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B) kepada 39 orang peserta Diploma Pengurusan Islam(DPI) Siri I 2010/2011. 
 
Peserta DPI amat bertuah kerana YB Menteri buat pertama kalinya menyampaikan ceramah khas buat mereka dengan tajuk ‘Pemikiran Kritis dan Berstrategik’ di bilik Ibnu Khaldun, ILIM pada 24 Januari yang lalu. Ceramah yang disampaikan dalam tempoh satu jam setengah ini memberi penekanan aspek kerja sebagai satu ibadah.
 
Konsep turun padang yang diamalkan oleh YB Menteri ini patut dijadikan iktibar khususnya pegawai-pegawai lantikan baru, dari aspek mengambil tahu permasalahan semasa disamping mengamalkan konsep mesra pegawai. 
 
YB Menteri turut meniupkan semangat kepada para peserta DPI dalam merealisasikan cita-cita Jakim untuk melahirkan Pegawai Hal Ehwal Islam yang berkaliber dan mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan serta mempunyai daya tahan yang tinggi.
 
Turut hadir mendengar ceramah YB Menteri ialah Ketua Pengarah Jakim, Y. Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Hj Othman bin Mustafa dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Tuan Hj Halid bin Sintol.
 
Selain itu Pengarah Kanan (Pengurusan), En. Mohd Noor bin Abd Hamid, Pengarah Pembangunan Insan, Tuan Hj Razali bin Sahabudin dan  Pengarah ILIM, Ustaz Che Ibrahim bin Che Man serta pengarah-pengarah bahagian Jakim yang lain turut serta mendengar ceramah yang disampaikan oleh YB Menteri.
 
 
 
 
 
Tarikh: 
Jan 27, 2011