Pendaftaran dan Taklimat Pelajar Baru Kelas Pengajian Dewasa Masjid Negara Sesi 2012

Jalan Perdana, Kuala Lumpur - Masjid Negara menganjurkan Majlis Taklimat kepada Pelajar-pelajar baru Kelas Pengajian Dewasa dan Wanita bagi Sesi 2012 pada 17 Januari 2012 (Selasa) bermula jam 5.30 petang di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Majlis ini diadakan bagi memberikan penerangan yang jelas kepada pelajar-pelajar baru mengenai kelas-kelas yang ditawarkan bagi Sesi 2012 yang bakal bermula pada hari Rabu, 18 Januari 2012 ini. Di samping itu, pembahagian kelas bagi pelajar-pelajar baru juga akan dilakukan semasa sesi taklimat ini supaya pelajar baru ini dapat mengetahui dan mendapat maklumat tentang tenaga pengajar mereka serta kelas yang akan mereka duduki. Lingkungan umur pelajar-pelajar baru yang menyertai kelas bagi Sesi 2012 ini adalah antara 18 tahun sehingga 77 tahun. Kelas-kelas Pengajian Dewasa ini mula aktif di Masjid Negara sekitar tahun 2002 secara rasminya.

Antara kelas-kelas yang ditawarkan oleh pihak Masjid Negara bagi Sesi 2012 ini ialah :

Kelas Pengajian Al-Quran Peringkat Asas dan Lanjutan
Kelas Bahasa Arab Peringkat Asas, Menengah dan Lanjutan
Kelas Tafaqquh Fiddin
Kelas Fardhu Ain Umum
Kelas Pengajian Wanita – Fardhu Ain Peringkat Asas

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad, Imam Besar Masjid Negara manakala taklimat kelas pula disampaikan oleh Ketua Penyelaras Kelas yang juga Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Ustaz Mohammad Zaki bin Ibrahim.

Objektif utama Majlis ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang pengajian di Masjid Negara. Di samping itu, untuk memberikan pengetahuan tentang pentingnya pengajian sepanjang hayat dan menggalakkkan pelajar untuk meneruskan pengajian mereka sehingga tamat.

Berikut merupakan pembahagian kelas dan bilangan pelajar baru bagi Sesi 2012:

Bil Kelas Bilangan Pelajar Mendaftar
1 KELAS PENGAJIAN AL-QURAN PRA ASAS 132
2 KELAS PENGAJIAN AL-QURAN ASAS 139
3 KELAS PENGAJIAN AL-QURAN LANJUTAN 78
4 KELAS BAHASA ARAB PERINGKAT ASAS 81
5 KELAS BAHASA ARAB PERINGKAT MENENGAH 24
6 KELAS BAHASA ARAB PERINGKAT LANJUTAN 12
7 KELAS TAFAQQUH FIDDIN 107
8 KELAS FARDHU AIN UMUM 95
9 KELAS PENGAJIAN WANITA – FARDHU AIN ASAS 38
  JUMLAH KESELURUHAN PELAJAR BARU 706

Di harap dengan adanya kelas-kelas pengajian bagi golongan dewasa yang dianjurkan oleh Masjid Negara ini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai untuk terus mengimarahkan Masjid ini bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tetapi juga untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.

 

Groups: