Peneraju Agama Perlu Gigih dan Padu

PENERAJU AGAMA PERLU GIGIH DAN PADU
 
Pada 5 Julai 2012, warga Jakim telah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri; YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom. Turut hadir sama YBhg. Dato’ Haji Othman Mustapha; Ketua Pengarah Jakim serta YBhg. Datuk Hj Che Mat Bin Che Ali. Majlis bermula jam 10.00 pagi dengan ketibaan YB Menteri dan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya hadirin ditayangkan dengan Kejayaan Agensi-Agensi di Bawah Jakim sepanjang tahun 2010-2012.
 
Seterusnya, acara yang paling dinanti oleh semua kakitangan Jakim adalah penyampaian amanat. Secara dasarnya, perkara yang telah disentuh adalah berkenaan peranan mufti yang telah dinaik taraf kepada tahap JUSA sekaligus setaraf dengan kedudukan Exco kerajaan negeri. Selain itu, perkara yang turut disentuh adalah gambaran sebenar tentang perbezaan diantara keputusan fatwa dan pandangan muzakarah yang mana membimbangkan apatah lagi dengan kewujudan laman media sosial sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat kini.
 
Dalam amanat yang sama, YB Menteri telah menyentuh perihal buku yang ditulis oleh penulis kontroversi Irshad Manji yang memperjuangkan ideologi Liberalisme, Pluralisme dan LGBT. Yang Berhormat Menteri menyeru kepada semua kakitangan agar tidak terpengaruh dengan ideologi yang cuba disampaikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tambahan pula, isu ini perlu dilihat sebagai ancaman yang sangat besar kepada negara. Jika tidak dibendung, ianya akan menyebabkan banyak lagi ideologi terpesong yang akan dibawa oleh penulis-penulis lain.
 
Selain itu, usaha pihak kerajaan yang bertungkus lumus dalam memproses maklumat bagi menambah baik pengisian untuk menggarap Islam ke adalam pentadbiran adalah salah satu perkara yang turut disentuh. Ini penting untuk menangkis isu yang sering diperdebatkan dan oleh pihak tertentu dalam mempersoalkan peranan Jakim sebagai penyelaras kepada hal ehwal agama Islam. Oleh itu, kakitangan Jakim diseru agar lebih gigih dan padu dalam menjalankan tugas dan membantu negara dalam memartabatkan sistem pentadbiran Islam.
 
Di pengakhiran amanatnya, YB Menteri menyeru kakitangan awam lebih proaktif dalam memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Disamping itu, beliau turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua kakitangan bersempena ketibaan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi. Di akhir majlis, sesi penyampaian cenderahati telah diadakan oleh YB Menteri kepada Ketua Pengarah Jakim; YBhg. Dato’ Seri Othman Bin Mustapha berupa sebuah buku bertajuk ‘Agenda Islam Dalam Transformasi Negara’ yang telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di PWTC, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2012. Kemudian YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Jakim telah menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenangan sempena lawatan YB Menteri.
 
 
  
 
Kakitangan yang hadir
 
 
YB Menteri bersama kakitangan Jakim