Penerapan Konsep Ihsan Mantapkan Budaya Kerja Oleh: Ghafani Awang Teh (BH,27 April 2007)

Setiap organisasi sama ada dalam kerajaan atau swasta membentuk pasukan pengurusan yang diyakini mantap dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran. Mereka membuat pengambilan pekerja berdasarkan spesifikasi tertentu bagi memastikan warga organisasi mampu melaksanakan piawaian yang ditetapkan. Stoner dan Wankel dalam buku ‘Pengurusan’,( Terjemahan Yaakob Ibrahim) menerangkan bahawa terdapat empat kaedah umum untuk meningkatkan daya pengeluaran iaitu: Pembaikan dalam proses pengeluaran, pembaikan kerja dan tugas, pembaikan dalam dorongan pekerja dan perubahan organisasi.
Menurut penulis buku itu lagi, antara kaedah itu didapati pembaikan dan dorongan pekerja menjadi kunci utama dalam meningkatkan daya pengeluaran. Pekerja menjadi tumpuan kerana mereka adalah kumpulan majoriti dan pelaksana utama dalam sesebuah organisasi.
Islam memberi perhatian berat tentang peranan manusia dalam meningkatkan kualiti daya pengeluaran. Islam memperkenalkan konsep Ihsan bagi menggalakkan manusia membudayakan kerja dengan cemerlang. Ihsan secara kasar bermakna membuat baik dengan cemerlang atau sempurna.
Ciri-ciri utama Ihsan berdasarkan sumber al-Quran dan Sunnah ialah pertama, berlumba-lumba dalam membuat kebaikan ( al-Baqarah: 148), kedua, membaiki diri atau meningkatkan kualiti modal insan disukai Allah ( al-Maaidah: 39), ketiga, wajib membuat baik terutama kepada orang yang rapat dan banyak berjasa kepada kita ( al-Ahqaf: 15) dan keempat, orang yang berjaya adalah orang yang yang baik amalannya (al-A’araf: 8), kelima, semua perbuatan adalah sedekah (hadis riwayat Bukhari dan Muslim), keenam, memberi contoh yang baik mendapat pahala seolah-olah kita melakukan kebaikan (hadis riwayat Muslim), dan ketujuh, manusia yang membawa manfaat adalah sebaik- baik manusia (hadis-al-Qudha’i).
Menurut Rasulullah SAW keberkesanan pelaksanaan ihsan dilakukan dengan dua kaedah iaitu, pertama apabila beribadah kepada Allah seolah-olah kita melihat-Nya, dan kedua jika kita tidak melihat-Nya maka anggaplah Allah tetap melihat kita (Hadis riwayat Muslim). Berdasarkan nasihat Rasulullah SAW dan qiyasan dalam pengurusan, maka jelas bahawa pelaksanaan Ihsan memerlukan kesungguhan dan komitmen yang berterusan tanpa mengira pekerjaan yang dilakukan itu dipantau oleh majikan atau tidak.
Syed Abu Ala Maududi dalam risalahnya ‘Guidelines For Islamic Workers’ telah memberi panduan berhubung membudayakan ihsan dalam pengurusan iaitu:-

. Mengaitkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan yang
dilakukan tidak termasuk dalam hukum haram,
. Membuat baik mendapat balasan yang setimpal pada hari akhirat
. Elak bersifat takbur, tidak memperlekeh warga organisasi apabila berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang,
. Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas pertumbuhan keharmonian organisasi,
. Saling bantu membantu membuat kebaikan
. Memberi teguran dan pengajaran secara membina bagi mengatasi kelemahan
warga organisasi,
. Patuh dan taat melaksanakan piawaian yang dipersetujui.
Berdasarkan dalil al-Quran, Sunnah dan tokoh pemikiran Islam itu jelas bahawa konsep ihsan akan menjamin pelaksanaan hak-hak Allah, hak- hak organisasi, pekerja, masyarakat umum, hak haiwan, hak tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Sebab itu mereka yang mengamalkan budaya ihsan akan memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran daripada Allah dan organisasi.
Islam dan beberapa teori Barat menyatakan bahawa manusia dari segi naluri dan tabiat asal kewujudannya cenderung membudayakan Ihsan. Bagaimana pun berdasarkan faktor pendidikan dan persekitaran maka tabiat positif manusia bertukar menjadi negatif yang boleh menjejaskan kualiti pengurusan.
Pakar-pakar pengurusan dan sains sosial Barat mencipta pelbagai teori pengurusan bagi membantu warga organisasi meningkatkan daya pengeluaran. Teori Hirarki Kehendak Maslow menyatakan bahawa terdapat lima jenis keperluan manusia yang perlu dipenuhi bagi meningkatkan daya pengeluaran iaitu bermula dari fisiologi (keperluan asas manusia), keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan kesempurnaan diri.
Menurut Maslow, pencarian kesempurnaan diri adalah kemuncak manusia bekerja kuat. Persoalan besar timbul ialah di manakah titit tolak penamat pencarian kesempurnaan itu? Kemuncak kesempurnaan diri dalam teori Maslow bertumpu kepada memenuhi kehendak nafsu besar manusia tanpa mengambil kira ihsan masyarakat umum. Bagi memenuhi kehendak nafsu serakah itu, maka manusia bersifat rakus mementingkan diri sendiri, makan rasuah, melanggar undang-undang dan melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi.
Penghayatan budaya ihsan bukan sahaja menjadi tanggungjawab pekerja tetapi juga majikan. Salah satu isu yang sering berlaku pertembungan antara majikan dengan pekerja ialah keadilan dalam pemberian penilaian prestasi. Penilaian prestasi secara adil amat dituntut oleh pekerja kerana ia mempengaruhi masa depan kerjaya dan kenaikan gaji.
Keadilan dalam memberi penilaian prestasi mempengaruhi budaya ihsan. Menurut Stoner dan Wankel, berdasarkan Teori Kesetaraan, apabila pekerja beranggapan majikan kerap kali tidak memberi penilaian yang adil, maka pekerja tersebut akan mengurangkan produktiviti dan mengamalkan sifat negatif yang lain.
Oleh sebab itu majikan wajib memikul akuantabiliti secara adil supaya perjalanan budaya ihsan tidak menjejaskan pengurusan. Majikan perlu bijak mengesan tindak tanduk bermuka-muka dan berpura-pura amalan berbudaya ihsan dalam pengurusan. Pelantikan mereka yang bernafsu serakah memimpin organisasi sudah pasti akan menaikkan lagi indeks rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Hakikatnya, membudayakan prinsip Ihsan adalah sikap positif kerana memenuhi keperluan makhluk Allah sejagat. Oleh itu kesan besar membudayakan Ihsan dalam pengurusan ialah akan meningkatkan hubungan manusia dengan Allah, membawa rahmat persaudaraan antara majikan dengan pekerja, pekerja dengan keluarga, pekerja sesama pekerja, pekerja dengan masyarakat, kasih sayang manusia dengan haiwan, dan kasih sayang manusia dengan alam sekitar. Ini adalah kemuncak pencarian ihsan dalam pengurusan yang melahirkan manusia bertaqwa.
Sempena sambutan Hari Pekerja di seluruh dunia maka marilah kita menghayati peringatan Allah mengenai ihsan. Firman Allah yang bermaksud: “Berbuat baiklah kepada makhluk Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dengan kurniaan nikmat yang melimpah ruah dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan” (al-Qasas:77).