Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Mesyuarat Sekretariat Dakwah Korporat Jakim Bil. 9/ 2016 & Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Jakim kepada KTMB

"Kerjasama antara Jakim dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilihat sebagai suatu permulaan yang baharu kepada industri perkeretapian dan semoga usaha ini menjadi titik permulaan untuk kita sama-sama memantapkan syiar Islam di Malaysia. Diharapkan agar pelantikan syarikat-syarikat anggota baru Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK Jakim) pada tahun ini yang menjadikan keseluruhan anggota berjumlah 25 buah syarikat, terus bersatu memikul amanah bersama sebagai pendokong kepada usaha Jakim bagi memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul demi melahirkan khaira ummah.”

Sumber : Petikan Perutusan Presiden KTMB sempena Mesyuarat SDK Jakim Bil. 9/ 2016 pada 29 Julai 2016 di Ibu Pejabat Korporat KTMB, Kuala Lumpur.

Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jakim telah menjayakan Mesyuarat SDK Jakim Bil. 9/ 2016 yang merupakan siri kedua bagi tahun 2016 bertempat di Ibu Pejabat Korporat, KTMB Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur pada 29 Julai 2016. Mesyuarat ini merupakan agenda tahunan SDK Jakim yang bersidang tiga kali setahun bermula sejak tahun 2013. Ia merupakan tindakan susulan hasil daripada Mesyuarat SDK Jakim Bil. 8/ 2016 pada 18 Januari 2016 di Malaysia Airlines Academy, Petaling Jaya, Selangor dengan matlamat untuk mengurus tadbir dan menyusun strategi dakwah secara bersama antara Jakim dengan sektor korporat di Malaysia.

Mesyuarat dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim merangkap Pengerusi SDK Jakim dan dihadiri oleh 36 orang wakil tetap mewakili 25 buah agensi/ syarikat-syarikat anggota SDK Jakim. Fokus utama perbincangan adalah berkisar pelaporan program dan aktiviti yang telah dilaksanakan pada suku awal tahun 2016 dan penetapan konsep pelaksanaan program/ aktiviti yang akan dilaksanakan pada Ogos hingga Disember 2016. Agenda mesyuarat menyentuh lima perkara utama iaitu Aluan Pengerusi, Pengesahan Minit Mesyuarat SDK Jakim Bil. 8/ 2016 dan Pelaporan Maklum balas Minit Mesyuarat SDK Jakim Bil. 8/ 2016, Pembentangan Kertas Cadangan Program serta Hal-hal lain.

Dalam ucapan alu-aluan YBhg Tan Sri Pengerusi, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak KTMB atas kesudian menjadi hos mesyuarat pada kali ini dan kejayaan dianugerahkan Sijil Pengesahan Halal Jakim bagi koc keretapi yang pertama di dunia menyediakan perkhidmatan sajian makanan halal KTMB ETS (MS1500 : 2009) pada 3 Mei 2016 yang lalu. Semoga usaha seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada syaikat-syarikat anggota SDK Jakim yang lain.

Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada 3 buah syarikat iaitu Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd., Affin Islamic Bank dan Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) atas persetujuan menjadi anggota SDK Jakim yang baru berkuat kuasa Jun 2016. Harapan pihak Jabatan agar jaringan kerjasama strategik ini akan bertambah luas dan menjadi pemangkin kepada usaha pembudayaan dakwah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Secara keseluruhannya, mesyuarat bersetuju melaksanakan dua program utama pada suku akhir tahun ini iaitu Program Qurban Bersama Korporat 1437H dan Karnival Ibnu ‘Auf 1438H. YBhg. Tan Sri Pengerusi akhirnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua wakil tetap atas komitmen dan kerjasama terbaik yang telah diberikan. Begitu juga cetusan idea, pandangan dan sarana yang baik bagi menjamin kelangsungan pelaksanaan projek/ program dan aktiviti yang lebih besar impak dan manfaatnya kepada negara dan ummah pada masa akan datang.

SDK Bil9 2016 1

 

SDK Bil9 2016 2

SDK Bil9 2016 4

SDK Bil9 2016 5

SDK Bil9 2016 6

SDK Bil9 2016 7

SDK Bil9 2016 8

SDK Bil9 2016 9

SDK Bil9 2016 10

SDK Bil9 2016 11

SDK Bil9 2016 12

 

Kredit Foto :

Bahagian Dakwah Jakim

Bahagian Khidmat Pengurusan Jakim