Judul: Tadabbur Kalamullah 11 Ramadhan 1441H - Santuni Golongan Susah
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 11 RAMADHAN 1441H
SANTUNI GOLONGAN SUSAH

یَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا یُنفِقُونَۖ قُلۡ مَاۤ أَنفَقۡتُم مِّنۡ خَیۡرࣲ فَلِلۡوَ ٰلِدَیۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِینَ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۗ وَمَا تَفۡعَلُوا۟ مِنۡ خَیۡرࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)" [Surah al-Baqarah 215]

Di antara perkara yang dianjurkan oleh Islam dan menjadi amalan golongan salafussoleh ialah menyantuni dan menggembirakan golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang sakit dan orang tua yang uzur. Bagi sesiapa yang tidak memiliki kepekaan sosial dengan mengabaikan golongan fakir miskin, anak yatim, orang susah, mereka disebut Allah sebagai pendusta agama. (Rujuk Surah al-Ma'un).

Sabda Nabi saw: "Orang yang berusaha membiayai para janda dan orang-orang miskin laksana orang yang berjuang di jalan Allah". Al-Qa’nabi iaitu gurunya Imam Bukhari dan Muslim berkata, iaitu seperti (ganjaran) orang yang solat malam yang tidak pernah merasakan penat, dan yang berpuasa yang tidak pernah berhenti berpuasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Ibnu Baththal: "Hadis ini jadi dalil bahawa sesiapa yang tidak dapat berjihad di jalan Allah, tidak dapat solat malam, tidak dapat berpuasa sunnah pada siang hari, maka hendaklah ia mengamalkan hadis ini, iaitu hendaklah ia bantu menafkahi para janda dan orang miskin, agar ia dapat dikumpulkan bersama para mujahid fi sabilillah pada hari kiamat".

Dikisahkan Imam Hasan al-Basri pernah mengutus sebahagian muridnya untuk membantu orang lain yang sedang dalam kesulitan. Beliau mengatakan pada murid-muridnya tersebut: “Hampirilah Tsabit al-Banani, bawa dia bersama kalian.” Ketika Tsabit didatangi, ia berkata, “Maaf, aku sedang iktikaf.” Murid-muridnya lantas kembali mendatangi Imam Hasan al-Basri, lantas mereka memberitahunya. Kemudian Imam Hasan al-Basri mengatakan: “Wahai A’masy, tahukah engkau bahawa bila engkau berjalan menolong saudaramu yang memerlukan pertolongan itu lebih baik daripada haji setelah haji?”. Lalu mereka pun kembali pada Tsabit dan berkata seperti itu. Tsabit pun meninggalkan iktikaf dan mengikuti murid-murid Imam Hasan al-Basri untuk memberikan pertolongan pada orang lain yang memerlukan". (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam)

Kisah ini memahamkan kita bahawa membahagiakan orang lain dan melepaskan kesulitan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang sakit dan orang yang memerlukan lebih baik dari ibadah haji yang dilakukan berkali-kali (haji sunat). Dalam hadis riwayat at-Thabrani pula mengatakan lebih baik daripada iktikaf di Masjid Nabawi sebulan lamanya.

Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:

وَاللَّهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِى عَوْنِ أَخِيهِ

Allah sentiasa menolong hamba selama ia menolong saudaranya” (HR Muslim)

Rajinlah membuat orang lain bahagia dan bantulah kesusahan mereka selagi nyawa kita dikandung badan. Moga setelah bercerai nyawa kita dari badan nanti, Allah akan membahagiakan kita di alam sana (akhirat). Aamiiin.