Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

MKI Kekal Relevan Sebagai Badan Penyelaras Tertinggi Pengurusan Dasar Hal Ehwal Islam

di Malaysia

Setelah 48 tahun penubuhannya, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) terus menjadi platform tertinggi sebagai badan penyelaras  pentadbiran agama Islam seluruh Negara, dalam menyelaras atau menggalakkan persamaan perkara-perkara berkenaan dengan undang-undang, pentadbiran agama Islam dan  pendidikan agama Islam.

Mesyuarat MKI kali ke-61 telah berlangsung pada 28 Jun 2016 di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.  Dalam perutusannya, YAB Pengerusi menekankan bahawa peranan MKI kekal relevan sebagai satu-satunya badan yang berwibawa dan berautoriti bagi menyelaras pengurusan dasar hal ehwal Islam di Malaysia.

YAB Pegerusi turut melahirkan rasa gembira dan sangat berpuas hati kerana usaha meningkatkan syiar Islam di Malaysia terlaksana dengan jayanya hasil kerjasama padu dan penuh muhibah antara Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, dengan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Agama di peringkat negeri.  Beliau berharap semoga usaha ini dapat terus dipertingkatkan dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan menerusi mesyuarat pada kali ini dalam mencapai keselarasan dengan negeri-negeri ialah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), Kedudukan & Perjalanan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI dan Pindaan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 [Akta 326].  Secara dasarnya,  negeri-negeri menyambut baik terhadap cadangan penyelesaian yang dikemukakan demi kemaslahatan umat Islam di Negara ini.  

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusi, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkap Setiausaha MKI, YAB Menteri-Menteri Besar, YBhg. Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri-negeri, YBhg. Tan Sri Othman bin Haji Mahmood Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Jabatan Perdana Menteri, Ahli-ahli Dilantik, Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan Ketua-ketua Agensi Agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

mki1

 

mki copy

 

mki2

 

mki3

 

mki4

 

mki5