Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang baharu bagi menggantikan YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin yang telah tamat tempoh pelantikannya. Pelantikan ini telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

 

      Majlis penyerahan watikah dan surat pelantikan kepada YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi telah diadakan pada 17 Oktober 2017 di Kompleks Islam Putrajaya dan disampaikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Hadir bersama pada majlis tersebut ialah YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM, Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM dan Tuan Haji Yaakob bin Abdul Rahim, Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM.

 

YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, 75 tahun, berasal dari Gerik Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) serta Ijazah Sarjana (Usul Fiqh) dari Universiti Al-Azhar Mesir. Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang dan lapangan kerjaya khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal Islam telah melayakkan beliau untuk menyandang jawatan ini. Antara karier perkhidmatan dan jawatan yang pernah disandang oleh YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh ialah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan dan Pengerusi Panel Pakar Akidah JAKIM.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh atas pelantikan ini, yang berakhir pada 15 Julai 2020. Semoga dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Fatwa MKI selaku badan yang diberi tanggungjawab dalam memberi pandangan hukum di peringkat nasional dapat melaksanakan fungsinya secara optimum, tanpa menyentuh bidang kuasa negeri-negeri.JAKIM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada agama, bangsa dan negara sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI.

 

LAntikan Pengerusi FATWA 1

LAntikan Pengerusi FATWA 2

LAntikan Pengerusi FATWA 3

LAntikan Pengerusi FATWA 4