Perancangan Strategik Darul Quran 2007 Siap Dirangka

Bengkel Perancangan Strategik Darul Quran kali ke enam telah berjaya diadakan pada 9 hingga 11 Disember 2007 di Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur. Bengkel ini bertujuan untuk memuhasabah perlaksanaan program tahun 2006 dan mengkaji semula kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman Darul Quran sebagai landasan untuk menetapkan objektif Darul Quran tahun 2007. Bengkel ini juga adalah sebagai salah satu siri latihan kepada semua kakitangan dan pegawai Darul Quran agar mengamalkan budaya kerja berasaskan objektif dan perancangan yang teratur seperti dianjurkan oleh al Quran dan al Sunnah.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Rumusan dari muhasabah dan analisa persekitaran berasaskan SWOT (Strength, Weakness, Opportunity, Threat) telah membantu semua unit untuk menetapkan objektif kualiti bagi tahun 2007. Pembinaan objektif kualiti Darul Quran adalah berasaskan ciri-ciri SMART (Specific, Measurable, Achievable, Realistic, Time Frame). Bengkel analisa SWOT dan penetapan objektif Kualiti Darul Quran 2007 telah dipimpin oleh Ustaz Mohamad Zamri Bin Mohamed Shapik, Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran. Bertitik tolak dari objektif yang telah digariskan maka setiap unit telah menyusun perancangan program tahun 2007. Perancangan setiap unit juga telah diselaraskan antara setiap unit. Bengkel muhasabah aktiviti 2006 dan penyelarasan aktiviti 2007 telah dipimpin oleh Us. Mat Lazim Bin Hassan, Ketua Pen. Pengarah Hal Ehwal Pelajar.

Semasa mempengerusikan bengkel penetapan Sasaran Kerja Umum (SKU) 2007 Darul Quran, Pengarah Darul Quran merakamkan ucapan penghargaan kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen yang amat tinggi untuk menjayakan bengkel ini. Semoga kejayaan bengkel ini akan membantu Darul Quran untuk menggerakkan jentera sedia ada memacu peranan dan tugas masing-masing bagi mengangkat martabat Darul Quran sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Tahfiz al Quran.

Bengkel ini telah sempurna ditangguhkan oleh Us. Sabaruddin Bin Hassan, Ketua Pen. Pengarah Akademik Darul Quran. Beliau menyatakan rasa bangga di atas kesedaran yang tinggi yang ada di kalngan peserta untuk membudayakan kerja berobjektif dan terancang di Darul Quran. Beliau juga amat yakin jika budaya ini diteruskan dan kesepakatan setiap unit disepadukan maka cita-cita untuk menjadikan Darul Quran organisasi contoh di dalam bidang pendidikan tinggi tahfiz al Quran benar-benar dapat diterjemahkan, insya Allah. Oleh itu beliau menyeru supaya semua peringkat kakitangan dan pegawai Darul Quran berganding bahu bagi menjayakan cita-cita ini.