PERASMIAN MULTAQA GURU-GURU & PENYELIA KAFA NEGERI KEDAH DARUL AMAN 2009 9 MEI 2009 DI DEWAN BANGUNAN SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR, KEDAH

YB SENATOR MEJAR JENERAL (B) DATO’ JAMIL KHIR BIN BAHAROM

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
SEMPENA PERASMIAN MULTAQA GURU-GURU & PENYELIA KAFA NEGERI KEDAH DARUL AMAN 2009

9 MEI 2009

DI DEWAN BANGUNAN SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR, KEDAH.

 

 

Tahmid dan selawat.

Terima kasih kepada pengerusi majlis,

 

Aluan kehadiran:

[Senarai tetamu akan diserah pada hari majlis].

 


السلام عليكم ورحمةالله وبركاته

 


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadhrat Ilahi kerana dengan rahmat dan izin-Nya pada hari ini kita dipertemukan dalam suasana harmoni dan penuh keceriaan. Saya berterimakasih kepada Ketua Pengarah JAKIM – Y.Bhg Dato’ Hj Wan Mohammad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, kerana telah mengatur majlis multaqa ini bersama penyelia dan guru-guru KAFA Kedah.

2. Saya juga mengucapkan jutaan terimakasih kepada kerajaan negeri Kedah Darul Aman khususnya kepada Ybhg. Dato’ Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Kedah di atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan perjumpaan ini. Saya harap semua guru dan penyelia dapat mengambil peluang ini untuk saling bertemu dan menjalinkan ukhuwwah islamiah.

3. Saya rasa bangga dengan perkembangan mutakhir ini di mana kita dapati banyak pertubuhan dan individu yang berminat dan turut terlibat dalam program/aktiviti keagamaan khususnya dalam bidang pendidikan Islam. Ramai yang berminat untuk menjadi guru, menerbitkan bahan-bahan bacaan Islam, membuka kelas-kelas tusyen, menubuhkan kelas-kelas al-Quran, ma’ahad tahfiz dan berbagai lagi. Dengan adanya kesedaran seperti ini saya percaya sedikit sebanyak dapat membantu meningkat dan memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam seseorang.

4. Menyentuh mengenai program pendidikan Islam , khususnya program-program yang disediakan oleh kerajaan seperti KAFA ini, saya percaya ia disusun secara bersistem dan mengikut kehendak semasa. Ini juga menjadi satu cara terbaik untuk menambah dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan generasi modal insan yang berkualiti dan berintegriti.

5. Suka saya menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan sistem pendidikan Islam di negara ini dengan memastikan bahawa semua sistem pendidikan yang disediakan sama ada di peringkat rendah mahu pun menengah diperkemas dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan dan perkembangan negara khususnya dalam menyediakan dan memperbanyakkan tenaga mahir dalam bidang pendidikan Islam. Tenaga mahir yang dimaksudkan ini meliputi semua bidang profesional seperti pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam, perkhidmatan dan pengurusan sistem kewangan Islam, pembuatan alatan/pakaian/makanan orang Islam, perubatan Islam, penyelidikan Islam dan banyak lagi. Kerajaan menggalakkan kita supaya sentiasa berusaha menambahbaik nilai profesionalisma diri kita sendiri dengan menggabung-jalinkan pelbagai kepakaran/ilmu sebagai alat untuk lebih maju dari bangsa-bangsa lain di dunia hari ini.
6. Saya juga mengucap syabas kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri kerana telah berjaya melaksanakan program KAFA sehingga ke hari ini. Kini program ini telah memasuki usia 19 tahun pelaksanaannya dan telah banyak penambahbaikan yang dilakukan.
Para hadirin sekalian,

Melalui program ini juga kita dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada golongan lulusan pengajian Islam iaitu menjadi guru dan penyelia dan sekaligus membantu menyebarluas ilmu yang diperolehi kepada pelajar-pelajar kita.

Pada tahun lalu (2008), JAKIM melalui Jabatan Agama Islam Negeri-negeri telah melantik guru KAFA seluruh negara seramai 33,475 orang dan penyelia seramai 247 orang. Manakala 62% kanak-kanak Islam telah mengikuti program KAFA ini. Peringkat awal pelaksanaan KAFA pada tahun 1990, hanya seramai 44 penyelia, 5,830 guru dan 169,330 murid sahaja yang terlibat di seluruh negara.

Bagi tahun 2009 pula, JAKIM menganggarkan akan dapat melantik seramai 34,000 orang guru bagi memenuhi kelas-kelas yang bertambah pada tahun ini. Adalah diharapkan dengan pertambahan peruntukan bayaran elaun kepada guru dan penyelia KAFA pada tahun ini iaitu sebanyak 6.1% (RM12,738,754.00 (daripada RM208,930,000.00 pada tahun 2008 kepada RM 221,668,754.00 pada tahun 2009) akan dapat membantu melancarkan lagi pelaksanaan kelas KAFA ini. Pada tahun lalu juga (2008) Kementerian Kewangan juga telah meluluskan bayaran elaun kepada penggubal-penggubal soalan UPKK, pemeriksa kertas jawapan, dan pengawas peperiksaan. Bayaran kepada penggubal telah pun dibuat. Bayaran ini diteruskan lagi pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.

Pada tahun ini pula JAKIM telah mendapat peruntukan khas dari Kementerian Kewangan di bawah waran peruntukan B.11 (Perkhidmatan Am Perbendaharaan Peruntukan Projek/Program Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebanyak RM26,540,000.00 manakala sebanyak RM2 juta daripada jumlah tersebut adalah untuk latihan guru & penyelia, dan sebanyak RM340,000.00 untuk perolehan peralatan bantu mengajar kelas KAFA seluruh negara.

Saya mengharapkan agar JAKIM yang bertindak sebagai penyelaras kepada program KAFA sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan semua aktiviti berkaitan KAFA dapat dilaksanakan dengan jayanya. Segala perancangan yang disusun hendaklah menitikberatkan kepada keperluan untuk meningkatkan kualiti pengurusan KAFA seperti mengadakan seminar, kursus latihan dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada guru-guru dan penyelia KAFA negeri- negeri, dan seumpamanya.

Saya amat berharap pelaksanaan program KAFA di negeri Kedah ini akan berjalan dengan lancar. Pada masa ini bilangan guru di negeri kedah adalah seramai 2,772 orang manakala penyelia pula seramai 45 orang dan merupakan yang teramai setakat ini. Negeri Kedah mendapat peruntukan sebanyak RM 18,981,000.00

13. Saya juga amat gembira dengan perkembangan terbaru di mana permohonan JAKIM untuk menaikkantaraf penyelia KAFA ke satu status yang lebih baik telah dipertimbangkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan JPA. Kita masih menunggu khabar mengenai permohonan bagi jawatan guru pula.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini agar dapat memberi komitmen yang tinggi terhadap program ini bagi memastikan ia dapat dikembangkan ke seluruh pelusuk negeri Kedah ini.

Saya juga merasa bangga dengan pencapaian dalam peperiksaan UPKK bagi negeri Kedah 2008 yang lalu di mana sebanyak 99.97% murid lulus dalam peperiksaan tersebut. Kita dapati seramai 17,330 calon yang mengambil peperiksaan UPKK hanya 6 orang sahaja yang gagal (0.03%) .

Y.Bhg Dato’-Dato’/tuan-tuan/puan-puan dan hadhirin sekalian.

16. Sekiranya pelaksanaan program KAFA ini dilaksanakan secara terancang, saya penuh yakin dan percaya bahawa Kelas al-Quran dan Fardhu Ain ini akan mampu melahirkan generasi beriman, berilmu dan komited dengan ajaran Islam.

17. Justeru itu, kita hendaklah memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita sebaik mungkin supaya pelaksanaan program KAFA ini akan lebih mantap dan berterusan kekal sebagai salah satu sistem pendidikan Islam unggul. Kita hendaklah bersama memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan kita yang sedia ada, baik di peringkat pengurusan sekolah, negeri mahupun persekutuan supaya menjadi lebih mantap di samping sentiasa merancang dan mengatur strategi-strategi baru untuk lebih berdaya maju dan berkesan.

Dato’/Tuan-tuan / Puan-puan,

Saya juga ingin menyatakan rasa gembira dan syabas di atas komitmen yang diberikan oleh tuan/puan selama ini. Saya percaya tuan/puan mampu meyakini masyarakat setempat terhadap kewibawaan tuan/puan sebagai guru agama dalam membentuk dan mendidik anak bangsa menjadi insan mulia.

19. Marilah kita berikrar bersama-sama untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dalam menangani isu-isu pendidikan Islam khususnya bagi mengurang dan menghapus kejahilan di kalangan masyarakat Islam dan meningkatkan pengetahuan Islam mereka sebaik mungkin sepanjang masa. Ini kerana pendidikan Islam menjadi teras kepada pembinaan tamaddun ummah yang cemerlang.

20. Berdasarkan tanggungjawab tersebut, maka kita perlu memperkasakan pendidikan Islam sehingga di peringkat global. Maka bermula dari sekarang kita perlu memperkuatkan tekad dan usaha agar umat Islam berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan melalui penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan.

21. Setakat ini yang ingin saya sampaikan dan sekiranya tuan-puan ada pandangan serta buah fikiran untuk meningkatkan lagi martabat pendidikan Islam saya mengalu-alukan pandangan tersebut dan mengemukakannya kepada JAKIM untuk tindakan.

22. Untuk akhirnya dengan lafaz
بسم الله الرحمن الرحيم saya merasmikan multaqa penyelia dan guru-guru KAFA negeri Kelantan 2009.

Sekian

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمةالله وبركاته

Terima kasih.