Perhimpunan Bulanan dan sumbangan Hari Raya Jakim
15 Ogos - Perhimpunan Bulanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap diadakan walaupun Ketua Pengarah Jakim; YBhg. Dato’ Othman Bin Mustapha tidak begitu sihat namun kerana komitmen dan kesungguhan dalam menjalankan tugas, beliau masih menggagahkan diri untuk hadir dan mampu memberi ucapan serta amanat kepada semua warga kakitangan Jakim. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); YBrs.Tuan Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan); YBrs.Tuan Haji Razali bin Shahabudin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan); YBrs.En. Mohd Noor bin Abd Hamid.
Seperti biasa, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Jakim. Selepas itu, majlis diserikan lagi dengan tayangan berita semasa iaitu pertukaran dan penempatan kakitangan serta senarai kakitangan Jakim yang menyambut hari kelahiran pada bulan Julai dan Ogos.
Acara- acara yang amat dinantikan warga Jakim adalah penyampaian amanat daripada Ketua Pengarah Jakim; YBhg. Dato’ Othman bin Mustapha. Beliau sebelum itu sempat menceritakan pengalamannya apabila beliau ditimpa musibah dan menganggap itu adalah satu ujian dan rahmat kasih sayang Allah baginya. Dalam amanatnya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua unit dan bahagian yang bertungkus lumus dalam menjayakan pelbagai program yang dianjurkan Jakim khususnya sepanjang bulan Ramadhan ini.
Beliau juga mengingatkan tentang konsep ‘self control’ dimana pengawalan diri adalah sangat penting dalam bulan puasa yang mana kini memasuki fasa terakhir sebelum menjelang Syawal. Tambah beliau, Ramadhan tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja kerana pada bulan itu kita diajar banyak perkara seperti mengawal diri dari melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa.
Konsep itu dikaitkan dengan isu tangkapan beberapa pegawai yang keluar pada waktu pejabat yang telah dilaporkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau berharap agar tidak terdapat kakitangan Jakim yang terlibat dan akan melaksanakan kerja dengan penuh amanah, komited dan bersungguh-sungguh. Menurut beliau lagi, walaupun letih berpuasa namun itu tidak menghalang untuk kita meningkatkan produktiviti kerja yang mantap. Punca masalah haruslah dikenalpati dan pendekatan yang sesuai perlu dicari untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini seharusnya diberi perhatian demi menaiktaraf mutu pengurusan Jakim. Memetik kata-kata beliau lagi iaitu ‘Tinggalkan yang haram, nescaya akan dapat yang halal’. Dalam pada itu, beliau menekankan keutamaan solat agar warga Jakim tidak cuai mengerjakan solat mahu pun ibadah lain biarpun selepas berlalunya Ramadhan Kareem.
Seterusnya, majlis turut dimeriahkan lagi dengan penyampaian sumbangan hari raya daripada Jakim kepada beberapa orang wakil kumpulan sokongan warga Jakim yang mana seramai 95 orang yang layak untuk menerima sumbangan tersebut. Akhir kalam, YBhg. Ketua Pengarah mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ke perhimpunan ini dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh warga Jakim.

Ketibaan YBhg. Dato' Ketua Pengarah Jakim disambut oleh pegawai kanan Jakim


Kehadiran warga Jakim di perhimpunan bulanan sempena bulan Ramadhan

YBhg. Dato' Pengarah Jakim menyampaikan sumbangan hari raya kepada warga Jakim yang layak




Tarikh:
Aug 17, 2012   - Hits : 1774







