Kelab Sukan Darul Quran (KSDQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membuat kejutan dalam penampilan sulung dengan mengetepikan cabaran dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan pada 6 Jun 2006 bertempat di Dewan Mu’tamar Darul Quran. Perlawanan yang bermula jam 9.30 malam tersebut telah mempertandingkan dua acara iaitu badminton dan ping pong berpasukan.


Kelab Sukan Darul Quran yang ditubuhkan pada penghujung tahun 2005 telah diwakili oleh warga kerja Darul Quran dengan diketuai oleh pengerusi kelab, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni. MDHS yang diwakili oleh pemain-pemain yang beraksi di Temasya Sukan Pihak Berkuasa Tenmpatan (PBT) diikat seri 2 – 2 dalam acara ping pong berpasukan sebelum menerima kejutan tewas 2 – 3 kepada KSDQ dalam acara badminton berpasukan.

Mengulas keputusan mengejut dalam perlawanan sulung KSDQ, wakil kelab, Ustaz Miswan Mahajar berkata, walaupun kemenangan yang dicapai agak mengejutkan, tetapi apa yang lebih penting ialah hubungan silaturrahim di antara kedua-dua organisasi yang terletak di dalam daerah Hulu Selangor dapat diperkukuhkan lagi dengan adanya program seumpama ini.

Bagi KSDQ keputusan awal yang dicapai dalam perlawan sulung membuktikan bahawa Darul Quran tidak ketandusan bakat dalam acara sukan di kalangan warga kerja dan ini akan dijadikan sebagai batu loncatan bagi menggalakkan lagi penyertaan warga kerja dalam akitiviti-aktiviti yang berunusrkan kecergasan dan kecerdasan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemain-pemain yang terlibat, barisan urusetia KSDQ dan juga jutaan penghargaan kepada pihak Pengarah dan pengurusan Darul Quran kerana memberi sokongan dan galakan kepada KSDQ dalam menganjurkan program yang telah dirancangkan. InsyaAllah pada masa-masa akan datang KSDQ akan cuba untuk memenuhi setiap undangan perlawanan persahabatan yang banyak diterima daripada organisasi terutamanya di sekitar daerah Hulu Selangor.
Sumber:
Penolong Pegawai Belia & Sukan
Merangkap S/U Kelab Sukan Darul Quran 2006