JAKIM telah mengadakan program Multaqa Penyelia dan Guru Guru KAFA, peringkat negeri Kelantan di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan pada 11 April 2009. Multaqa tersebut bertujuan memberi peluang secara langsung antara JAKIM/JAIN dengan guru dan penyelia KAFA di peringkat akar umbi berbincang dan mencari idea untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan selama ini di negeri Kelantan.
Dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Y.B Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa pihak Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan sistem pendidikan Islam di negara ini khususnya pendidikan peringkat rendah. Melalui pendidikan KAFA, pembelajaran al-Quran dan fardhu ain dapat dilaksanakan secara bersistematik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan terbilang.
Menurut beliau lagi, Negeri Kelantan merupakan negeri yang mendapat peruntukan tertinggi setiap tahun. Pada tahun 2008, negeri Kelantan telah diperuntukkan sebanyak RM32 juta. Guru seramai 6,194 orang, penyelia 15 orang, murid 144,439 orang manakala peruntukan untuk tahun ini (2009) adalah sebanyak RM37,298,664.00 (kenaikan sebanyak 14.2%).
Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan harapan agar sistem pendidikan KAFA dapat diberi hala tuju baru dari sudut kualiti dan dapat diletakkan pada arus perdana pendidikan negara. Untuk itu, ujar beliau, segenap pihak yang terlibat dalam program KAFA terus memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin supaya pelaksanaan program yang sedia ada ini sentiasa diperbaiki sama ada di peringkat pengurusan sekolah, negeri mahupun persekutuan.
Terdahulu dari itu, Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, turut melahirkan harapan agar program KAFA dapat mendominasi pelaksanaan pendidikan Islam kepada kanak-kanak di negara ini. Menurut beliau, perkara ini perlu dilakukan kerana melalui pemerhatian JAKIM, kanak-kanak yang mendapat didikan KAFA mempunyai risiko yang rendah daripada dipengaruhi gejala yang tidak sihat yang kini menjadi masalah utama kepada pembangunan negara.

Keceriaan jelas terpancar di wajah Y.B Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Antara barisan VIP yang turut hadir.

Y.B Menteri menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Multaqa Penyelia dan guru-guru KAFA Negeri Kelantan.

Y.Bhg Dato' Ketua Pengarah berharap agar program KAFA dapat diperkasakan.

Y.Bhg Puan Hajah Ramlah bt Yong cukup berpuas hati dengan sambutan yang diberikan.

Salah seorang peserta mengajukan soalan kepada pihak urusetia.

Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan dibanjiri kehadiran penyelia dan guru KAFA yang datang dari pelbagai daerah.

Majlis penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan.

Tahniah buat adik-adik yang turut mengadakan persembahan bagi menyerikan majlis.