Pada Selasa (Malam) 27 Oktober 2009 M bersamaan 9 Zulkaedah 1430 H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan program temu seru (outreach) ke lapangan permasalahan sosial bersama Y.Bhg. Dato' Hj Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abd Aziz, Ketua Pengarah Jakim dan Y.Bhg. Dato' Abd. Bakir bin Hj Zin, Ketua Pengarah AADK bersama pegawai-pegawai kanan Jakim, AADK, JAWI serta peserta program Muhadarah Antidadah dan Gejala Sosial 2009 yang bermula pada 27 hingga 29 Oktober 2009 di Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur.
Para peserta seramai 120 orang terdiri daripada wakil Kementerian, Agensi, Jabatan, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), dan Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang terbabit secara langsung dengan golongan berhadapan masalah sosial. Program ini turut mendapat kerjasama erat dari Majlis AIDS Malaysia (MAC), PT Foundation dan FM Production (ASTRO).
Objektif utama program adalah bagi memberi pendedahan kepada peserta melalui aktiviti temu seru (Outreach) ke lokasi sebenar masalah sosial. Pendekatan secara bersantai kepada kumpulan sasar dengan tujuan mengenali dan memahami masalah mereka turut diterapkan. Penyampaian komunikasi secara berhikmah oleh peserta dapat memudahkan kumpulan sasar untuk didekati dan berikteraksi antara satu sama lain.
Aktiviti bermula jam 8 malam melalui sesi taklimat oleh pihak FM Production yang akan menerbitkan dokumentari khas untuk siaran ASTRO. Para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan bagi meneruskan sesi temu seru ke 10 lokasi panas pengguna dadah tegar, penghidu gam, penagih syabu, lepak mat rempit di Taman Tasik Permaisuri, Cheras.
Lokasi lepak mak nyah, pelacur, pengguna dadah, MSM (Men Sex With Men) dan transeksual di sekitar Chowkit dan Sentul turut dilawati. Rumah Persinggahan Sinar Salam dan Rumah Solehah turut menjadi lokasi temu seru melalui penyampaian sumbangan hamper oleh pihak Jakim. Aktiviti seumpama ini merupakan kesinambungan Pasukan Ziarah Prihatin, Bhg. Kesuma, Jakim melalui program Ziarah Iftar, Ziarah Ramadhan Ulama Prihatin 2009. Aktiviti temu seru (outreach) berakhir jam 12 tengah malam.
Semoga perkongsian kepakaran antara Jakim dan AADK melalui program seumpama ini dapat mengeratkan jaringan kerjasama antara Agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha menangani permasalahan sosial sehingga peringkat akar umbi. Segala pengalaman dan perkongsian maklumat sepanjang aktiviti ini dijalankan dapat diimplimentasi oleh para peserta di lokasi masing-masing kelak.


Barisan Kepimpinan Jakim, AADK Dan JAWI Turut Mengikuti Sesi Taklimat Program



Peserta Program Muhadarah Antidadah dan Gejala Sosial 2009 Begitu Komited dan Bersedia Mengikuti Aktiviti Temu Seru (Outreach) Sekitar Kuala Lumpur.



Y.Bhg. Dato' KP Jakim (Kanan) dan Y.Bhg. Dato' KP AADK (Kiri) berinteraksi Dengan Penghidu Gam Tegar


Lokasi Mat Rempit Di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.



Lokasi Penagih Syabu Wanita Turut Diziarahi






Rumah Sinar Salam, Lorong Hj Taib 4, Chowkit Turut Menjadi Lokasi Temu Seru


Lokasi Maknyah, Pelacur, Pengguna Dadah Tegar Di Sekitar Chowkit


Lokasi Rumah Solehah Yang Menempatkan Ibu, Remaja Dan Kanak-kanak Positif HIV
SEDUTAN LIPUTAN AKHBAR (Ehsan Berita Harian Online)
Jakim, AADK Anjur Program Bagi Tangani Gejala Sosial
Dampingi Kumpulan Bermasalah Pendekatan Dakwah Terbaik
Takut Dihina, Tak Diterima Halang Hasrat Penagih Dadah Bertaubat