Bertempat di Institut Latihan Islam (ILIM) Wilayah Timur, Besut Terengganu. Seramai 52 orang peserta yang terdiri daripada pegawai kanan Hal Ehwal Islam Gred S48 ke atas telah selamat melaporkan diri sebagai peserta Retreat Khas Bina Insan yang bermula pada 3 Mei hingga 6 Mei 2010.
Retreat yang berlangsung selama 4 hari ini adalah ajuran JAKIM dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Hal Ehwal Islam (PKPU). Tuan Hj. Mohamad Nordin Ibrahim, selaku pengarah retreat, memaklumkan bahawa, 3 fokus utama retreat ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengurusan jati diri kepimpinan, mengukuhkan sahsiah serta melahirkan pasukan pelapis kepimpinan organisasi yang mampu melaksanakan pendekatan inovatif, berhikmah dan strategik dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Penceramah jemputan adalah terdiri daripada Y.Bhg. Dr. A. Bakar Sarpon (IIM), Y.Bhg. Tuan Hj. Sumali Amat (KDN), Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim (Penyandang Kursi Abdullah Fahim, UKM), Y.Bhg. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Kolej Dar Al-Hikmah) dan Y.Bhg. Hj. Ahmad Fuad Mohd Amin (Bank Rakyat).
Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jakim dalam ucapan amanatnya menekankan tentang perlunya para pemimpin membudayakan amalan berfikir dan banyak merancang, sentiasa mementingkan budaya al-Ihtimam dengan memberi fokus kepada tugas dan fungsi organisasi serta melihat kehadapan. Dalam konteks tersebut, pemimpin organisasi perlu berjiwa besar dan memikirkan apakah wajah organisasi untuk 5 ke 10 tahun yang akan datang.
Sementara itu, Y.Bhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia yang merasmikan majlis penutupan program, turut menyarankan agar para pemimpin perlu membudayakan amalan banyak mendengar sebelum bertindak. Dengan mendengar segala keluhan pelanggan akan membantu kita mencipta tranformasi pengurusan yang lebih berkesan. Selain sesi ceramah dan pembentangan kumpulan, retreat pada kali ini turut mengadalan lawatan Inovasi ke SMK Imtiaz Besut Terengganu dan aktiviti outdoor dengan berakit menyusur muara sungai.



Y.Bhg. Dato KP Jakim menyampaikan amanat kepada para peserta kursus.


Kelihatan para peserta bertungkus-lumus menyiapkan rakit bagi aktiviti outdoor.


Y.Bhg. Dato' KP Jakim sendiri turut serta menghilir rakit ke kuala sungai.

Peserta berpeluang berkunjung ke SMK Imtiaz Besut, Terengganu.

Y.Bhg. Dato KP Jakim menyampaikan cenderahati.

Y.Bhg. Tuan Hj. Othman Mustapha; TKPO Jakim ketika sesi forum dijalankan.

Y.Bhg. Dato' KP Jakim menyampaikan cenderahati kepada Y.Bhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias, TKP Perkhidmatan Awam Malaysia.

Bergambar kenang-kenangan.