Program Berkhitan Beramai-Ramai di Masjid Negara 2011M/1432H

Program ini dirasmikan oleh YBhg. Mohd. Ansarullah bin Mohd. Hashim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu Majlis yang diadakan di Bilik Kuliah, Masjid Negara. Turut hadir ialah Penyelaras Program ini, Penolong Pengarah Kanan, Unit Dakwah dan Ibadah Masjid Negara, YBhg. Ustaz Ehsan bin Mohd. Hosni yang juga wakil YBhg. Tan Sri Dato’ Imam Besar Masjid Negara serta pegawai-pegawai daripada JAKIM dan Masjid Negara sendiri.

Seramai hampir daripada 190 orang kanak-kanak terdiri daripada pelajar sekolah yang datang dari sekitar Lembah Klang, Melaka, Johor, Kedah dan Pulau Pinang diraikan dalam Majlis Program Berkhitan beramai-ramai di Masjid Negara. Program tahunan ini telah bermula sejak tahun 1993 dianjurkan oleh pihak Masjid Negara sendiri sempena musim cuti persekolahan yang bermula pada hari ini. Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam Majlis itu berusia antara 5 tahun sehingga 12 tahun. Kanak-kanak ini dikhitankan oleh 12 pegawai perubatan swasta yang sememangnya pakar dalam bidang berkenaan.

Menurut Penyelaras Program, YBhg. Ustaz Ehsan bin Mohd. Hosni, program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan masyarakat luar dengan kaki tangan Masjid seperti yang dituntut oleh Islam. Sambutan yang diterima pada tahun ini sangat-sangat menggalakkan daripada segi bilangan penyertaan mereka terutamanya terutamanya dari penduduk Lembah Klang. Beliau juga memberitahu bahawa penganjuran program ini juga bagi memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan setiap umatnya memilik kualiti kesihatan yang terbaik di kalangan masyarakat. Beliau menambah lagi, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan fahaman Islam terhadap anak-anak kecil terutamanya kepentingan berkhitan seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri. Kanak-kanak yang telah berkhitan akan merasakan diri mereka berbeza daripada kanak-kanak kecil yang lain. Ini kerana amalan berkhitan adalah salah satu agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa.

Mengenai kaedah atau teknik Smart Klamp pula ianya merupakan satu teknik berkhitan / bersunat yang cepat, mudah dan selamat. Dengan teknik ini, 5 orang kanak-kanak dapat dikhitankan setiap jam oleh seorang doktor yang terlatih. Dengan 10 orang doktor, 200 kanak-kanak dapat dikhitankan dalam masa 4 jam berbanding 8 jam dengan cara jahitan. Prosedur Smart Klamp boleh dijalankan hampir dimana-mana sahaja kerana ia amat ringkas, bersih dan teratur. Selain penggunaan Smart Klamp telah diterima pakai oleh lebih 200 klinik di seluruh Malaysia, ianya juga merupakan teknik yang mudah dikendalikan oleh doktor, tanpa jahitan dan mudah di jaga. Sehingga kini, lebih 50,000 kanak-kanak telah dikhitan menggunakan teknik ini sejak ia diperkenalkan seawal 2003. Teknik ini merupakan kaedah terbaik untuk pesakit diabetis, hemophilia, kanak-kanak autism dan kanak-kanak hiperaktif.

 

 Penganjuran program ini juga untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa memandangkan kos berkhitan yang kini agak mahal sehingga mencecah RM250 ke RM280 seorang. Bagi Program ini, bayaran yang dikenakan kepada peserta hanyalah RM150 sahaja bagi seorang.

 

 

 

 

Disediakan oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN PUSAT SUMBER
MASJID NEGARA, JAKIM

Groups: