Program Pembangunan Jati Diri Anak Yatim/Miskin Negeri Selangor

PROGRAM PEMBANGUNAN JATI DIRI ANAK YATIM/ MISKIN
 
“Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: ”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”
 
Menyedari tanggungjawab besar ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan & Masyarakat dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara dan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Program Pembangunan Jati Diri kepada Anak-Anak Yatim/Miskin Negeri Selangor 2011. Program yang berlangsung selama 3 hari bermula 24 Jun hingga 26 Jun 2011 yang diadakan di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat.
 
Seramai 100 orang peserta hadir yang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak miskin seluruh Negeri Selangor 2011 serta berdaftar di bawah program e-kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut Ustaz Jamali Mohd Adnan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, JAKIM menyatakan matlamat program ini ialah untuk memberi semangat kepada mereka serta memiliki semangat kendiri yang tinggi untuk bersama-sama masyarakat Malaysia yang lain meneruskan kehidupan dan menyumbang kepada negara. 
 
Katanya lagi, “Golongan miskin dan anak yatim ini perlu diberi perhatian yang serius bagi menjamin mereka memperolehi kehidupan dan peluang pendidikan yang sempurna bagi memastikan wawasan 2020 dapat dicapai sesuai dengan saranan Islam untuk mengasihi golongan ini atas dasar tanggungjawab sesama Muslim, sesuai dengan konsep masyarakat penyayang (caring society)”.
 
Pendekatan program yang berkonsepkan indoor dan outdoor telah memberi pendedahan kepada para peserta tentang elemen pengukuhan jati diri. Antara program yang dijalankan ialah mengenal potensi diri, praktikal kesempurnaan solat, tanggungjawab sebagai anak, kepimpinan, cabaran remaja masa kini, qiamullail dan banyak lagi. Slot-Slot yang digarap ini dibina untuk membangunkan jati diri remaja yang kuat disamping memberi nilai tambah kemahiran insaniah kepada para peserta.
 
Menurut salah seorang peserta, Nabilah Anis Muhamad Yusof daripada Pertubuhan Rumah Anak Yatim/Miskin daerah Kuala Langat berkata “program ini telah berjaya memberi motivasi kepada saya untuk cemerlang dalam kehidupan tambahan pula pada tahun ini saya akan menduduki peperiksaan SPM”.
 
Selain program ini, KPWKM, Yayasan Kebajikan Negara dan JAKIM akan turut bekerjasama dalam program pembangunan jati diri secara berkala dan memberi fokus kepada kumpulan sasaran yang berbeza seperti golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan keluarga miskin tegar.  
  
Para peserta fokus mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Suriati Shahadan (JAWI)
Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) menggilap potensi pelajar dalam komunikasi dan kretiviti
Aktiviti Sukan bermodul menyerlahkan semangat juang dan kerjasama para peserta
Gambar kenangan antara peserta, fasilitator, urusetia menggamit kengan indah sepanjang program